PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkemungkinan akan bergerak solo dan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Keadaan itu berlaku sekiranya persefahaman khususnya mengenai pengagihan kerusi gagal dicapai dengan Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden Wawasan, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, setakat ini belum ada sebarang ketetapan mahupun pendirian rasmi daripada BN dalam memilih rakan kerjasama.
“Saya rasa masih ada peluang untuk berunding bagi membentuk kerjasama BN dan PN.
“Kalau BN enggan bersama dengan kami dan mahu bergerak solo, kami juga kekal kolaborasi dengan Pas, MIPP dan Gerakan. Kami juga akan (bertanding) solo di Melaka, semua DUN akan ditandingi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh baru-baru ini memberi bayangan pembubaran DUN Melaka semakin hampir apabila mengulangi ungkapan ‘satu Jumaat lagi’ sebagai indikator kepada tarikh berkenaan.
Pada masa sama, Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, Wawasan mahu bertanding di DUN Bemban dan Sungai Udang, sama ada kerjasama dengan UMNO terjalin ataupun tidak dalam PRN Melaka.
Beliau berkata, dua kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah menjadi milik Wawasan apabila kedua-dua penyandang memilih untuk menyertai Wawasan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Wawasan Pusat, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, beliau percaya Pas tidak akan meninggalkan parti-parti komponen dalam PN untuk bekerjasama dengan UMNO di Melaka.
Beliau berkata, Majlis Tertinggi (MT) PN akan mengadakan rundingan rasmi apabila tiba di masanya, melibatkan Pas, Wawasan, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
“Saya percaya Pas takkan buat macam itu, Pas akan menghormati persefahaman dan juga persahabatan parti-parti komponen di dalam PN. Insya-Allah.
“Mungkin kalau setakat awal ini, UMNO hendak jumpa dengan Pas dulu, hendak bersembang pasal kerusi, tidak ada masalah. Tapi perundingan rasminya, saya percaya akan melibatkan keseluruhan komponen PN,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wawasan Bahagian Kota Raja, Mohd. Shukor Mustaffa berkata, Wawasan tidak melihat penyatuan UMNO dan Pas sebagai faktor yang akan menyebabkan parti itu terpinggir atau disisihkan dalam landskap politik semasa.
Beliau berkata, sebarang perkembangan berkaitan kerjasama antara UMNO dan Pas perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti kerana perbincangan berkenaan berlaku di peringkat atasan.-UTUSAN.











