KUALA LUMPUR: Orang Melayu tidak terlalu mempedulikan formula atau bentuk kerjasama politik sebaliknya hanya mahukan perwakilan politik Melayu-Islam yang kuat dan dominan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu antara isyarat penting yang dapat dilihat menerusi kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan.
“Orang Melayu inginkan perwakilan politik Melayu-Islam yang kuat. Bagaimana ia harus diterjemahkan, terpulanglah kepada UMNO.
“Maknanya, orang Melayu tidak peduli dengan formula politik kita. Bagi mereka, tidak perlu pelbagai koalisi demi koalisi atau perikatan itu dan pakatan ini.
“Yang mereka berkehendak ialah suara politik Melayu-Islam itu dominan dan menguasai,” katanya ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Menurut Mohammad, struktur politik formal bukan perkara utama bagi orang Melayu, sebaliknya yang lebih penting adalah memastikan tidak berlaku pertindihan kepentingan Melayu.
Beliau berkata, UMNO perlu mengemudi landskap politik negara ketika ini dengan strategi yang berhikmah memandangkan keadaan sudah menjadi semakin rumit dan bercelaru.
Katanya, tiada satu kemenangan yang boleh dijadikan petunjuk mutlak mengenai masa depan UMNO dalam politik negara.
“Tiada juga strategi menyeluruh untuk semua keadaan. Semuanya bergantung kepada strategi unik di setiap daerah politik yang UMNO bertanding.
“Walau bagaimanapun, kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan memberikan beberapa dorongan yang penting,” katanya.
Beliau berkata, antara petunjuk lain adalah kesepaduan undi Melayu yang menunjukkan politik identiti akan terus memainkan peranan penting dalam landskap politik negara.
Katanya, fenomena berkenaan bukan hanya berlaku di negeri-negeri dalam jajaran atau koridor Melayu, malah identiti turut menjadi pertimbangan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
“Walau di mana pun, politik identiti adalah kelaziman yang tidak boleh diketepikan.
“Identiti itu membawa kedekatan yang sukar digambarkan. Ia mengikat dengan caranya tersendiri.
“Walaupun pengundi sangat mementingkan isu-isu seperti sara hidup, pembasmian rasuah dan pengagihan kekayaan yang saksama penting, mereka akhirnya akan lebih cenderung mengundi berdasarkan identiti kaum,” katanya.-UTUSAN









