KUALA LUMPUR: Ruang media sosial hari ini diselubungi suasana hiba apabila rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pagi ini.
Nama Allahyarham menjadi antara topik paling trending di platform X, Facebook, Instagram, Threads dan TikTok, dengan golongan kenamaan, selebriti dan warganet berkongsi gambar, rakaman video serta kenangan manis bersama.
Penyanyi tersohor tanah air, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, menerusi hantaran di Instagram menyifatkan pemergian Dr Siti Hasmah sebagai satu kehilangan besar buat negara memandangkan jasa dan sumbangan Allahyarham yang begitu banyak sepanjang hayatnya.
“Allahyarham ialah seorang tokoh wanita yang sangat penyayang, lemah lembut dan mempunyai sifat keibuan yang tinggi,” katanya yang turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan jiwa.
Turut berkongsi kenangan di platform Threads ialah pelakon Dynas Mokhtar dan Aeril Zafrel yang tidak menyangka pertemuan mereka dengan Allahyarham baru-baru ini menjadi kenangan terakhir.
“Saya diberi peluang duduk semeja dengan Tun Dr Siti Hasmah beberapa hari lalu. Tak sangka pertemuan itu menjadi pertemuan terakhir dan kenangan yang begitu berharga buat saya. Saya akan sentiasa ingat kelembutan dan kemesraan Tun,” kata Aeril.
Sementara itu, pengacara dan penyanyi Alif Satar serta pelakon Mimi Lana turut menzahirkan ucapan takziah buat Dr Mahathir sekeluarga, selain menghargai khidmat serta teladan yang ditinggalkan oleh Tun Dr Siti Hasmah.
Di platform X, pengguna akaun @AlyaAdora menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang bukan sekadar isteri kepada pemimpin negara, malah juga seorang wanita berpendidikan, mempunyai identiti hebat dan peranan tersendiri yang sentiasa setia berdiri di samping suami.
Bagi pengguna akaun @KubiQupz pula, beliau menyifatkan hari ini sebagai hari yang menyedihkan buat Malaysia atas kehilangan seorang wanita luar biasa yang banyak menabur jasa buat negara.
Sementara itu, rata-rata netizen merentas generasi menyifatkan sumbangan Allahyarham bukan sahaja terserlah sebagai isteri kepada bekas perdana menteri, malah peranannya dalam bidang perubatan dan kesihatan masyarakat akan sentiasa dikenang.
Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Allahyarham akan diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan dikebumikan di Pusara Negara Presint 20, Putrajaya.- BERNAMA











