KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia, dua ahli politik, pertubuhan Bersih 2.0 dan beberapa pihak lagi gagal dalam usaha mereka untuk mencabar Ordinan Darurat 2021 termasuk tindakan-tindakan yang diambil oleh kerjaan sewaktu pandemik Covid-19 termasuk penggantungan sidang Parlimen.
Pihak-pihak tersebut melalui dua permohonan semakan kehakiman dan dua saman pemula antara lain memohon deklarasi bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan, dan oleh itu terbatal dan tidak sah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aliza Sulaiman (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati bahawa relif berbentuk deklarasi sebagai mana yang dimohon tidak wajar diberikan.
Katanya, mahkamah juga terikat dengan sekatan bidang kuasa di bawah Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan berhubung kesahan sesuatu ordinan darurat.
“Kesimpulannya, kuasa mahkamah untuk memberikan penghakiman deklarasi adalah bersifat budi bicara. Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan, mahkamah ini tidak berpuas hati bahawa relif deklaratori yang dipohon oleh para pemohon dan plaintif wajar diberikan. Oleh itu, (kesemua) permohonan ditolak,” katanya.
Mahkamah turut tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Ketika membaca penghakimannya, Hakim Aliza berkata, walaupun isu yang dibangkitkan mempunyai kepentingan awam dan tidak boleh ditolak semata-mata atas alasan ia bersifat akademik, mahkamah masih perlu mempertimbangkan sama ada mempunyai bidang kuasa untuk memberikan deklarasi yang dipohon.
Menurutnya, mahkamah juga tidak seharusnya memberikan pandangan berbentuk nasihat mengenai persoalan Perlembagaan yang tidak lagi mempunyai kesan praktikal terhadap pihak-pihak.
Selain itu, hakim tersebut menyatakan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutun mempunyai skop bidang kuasa yang luas tetapi ia menghalang mahkamah daripada mempertimbangkan permohonan yang pada hakikatnya mempersoalkan kesahan sesuatu ordinan darurat.
Katanya, permohonan tersebut bukan sekadar meminta mahkamah mentafsir peruntukan Perlembagaan tetapi turut memerlukan mahkamah menentukan sama ada beberapa peruntukan Ordinan Darurat itu berperlembagaan dan sah.
Bagaimanapun, hakim itu menegaskan bahawa Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan tidak bermaksud Parlimen boleh diketepikan sepenuhnya daripada Perlembagaan Persekutuan ketika darurat.
“Berdasarkan Perkara 16.1 Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah tidak harus mempersoalkan kesahihan atau kesan daripada sidang Parlimen. Mahkamah tidak menerima Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan akan menimbulkan kemungkinan Parlimen hilang daripada susunan Perlembagaan (constitution order).
“Perkara 150(3) mengenakan suatu kewajipan dan ia mesti mempunyai kandungan yang substantif,” katanya.
Menurut Hakim Aliza, sekiranya kuasa darurat ditafsirkan sebagai membolehkan pihak Eksekutif menghalang keperluan membentangkan ordinan di Parlimen untuk tempoh tidak terbatas, ia menjadi tidak selaras dengan kerangka Perlembagaan.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menetapkan tempoh tertentu Parlimen perlu bersidang semasa darurat atau menyatakan bahawa sesuatu ordinan secara automatik menjadi tidak sah sekiranya ia tidak terlebih dahulu dibentangkan di Parlimen.
“Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan jumlah hari yang tepat dalam tempoh mana Parlimen mesti bersidang. Untuk mengandaikan satu formula berasaskan tempoh masa akan memerlukan mahkamah menggubal undang-undang dan bukannya mentafsirkannya,” katanya.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa Proklamasi Darurat 2021 tamat pada 1 Ogos 2021, manakala ordinan terbabit kemudiannya dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen. –UTUSAN









