Kelantan rekod 94 kes penipuan 'tiga penjuru'

Kelantan rekod 94 kes penipuan ‘tiga penjuru’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 94 kes berkaitan penipuan pembelian barangan dalam talian menggunakan modus operandi ‘tiga penjuru’ direkodkan di negeri ini sehingga 15 September lalu.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, modus operandi itu membabitkan penjual sebenar tidak menyedari iklan mereka telah digunakan penjenayah bagi mengaut keuntungan daripada pembeli.

“Penjenayah mengambil atau menggunakan maklumat iklan barangan milik penjual sebenar, kemudian berurusan dengan pembeli seolah-olah barangan tersebut miliknya.

“Pembeli kemudiannya diarahkan membuat pembayaran mengikut arahan penjenayah. Selepas pembayaran dibuat, wang masuk kepada penjenayah, pembeli mengalami kerugian, manakala penjual sebenar pula terheret dalam urusan yang tidak diketahuinya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, antara barangan yang direkodkan dalam laporan termasuk motosikal, kereta, kenderaan pacuan empat roda dan telefon bimbit.

Katanya, daripada jumlah 94 kes itu, 75 laporan membabitkan pembeli yang ditipu, manakala 19 laporan lagi melibatkan penjual yang iklan barangan mereka digunakan oleh penjenayah.

Katanya, sebanyak 66 kertas siasatan telah dibuka, dengan Tumpat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 35 laporan, diikuti Kota Bharu (22).

Mohd. Yusoff menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat bayaran, terutama apabila harga yang ditawarkan terlalu murah.

“Pastikan identiti penjual, pemilikan barangan dan akaun penerima bayaran benar-benar sepadan sebelum meneruskan transaksi.

“Ingat, barangan mungkin benar-benar wujud, tetapi orang yang anda berurusan mungkin penjenayah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×