MARAN: Seramai 17 penghuni wad kanak-kanak dan wanita Hospital Bandar Jengka di sini berdepan detik cemas dan berjaya menyelamatkan diri selepas ruang siling kedua-dua wad tersebut terbakar malam ini.
Kebakaran kira-kira pukul 7 malam itu berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba dalam tempoh kira-kira 20 minit.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Maran sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi.
“Anggota bertugas Balai Polis Jengka yang menerima maklumat itu kemudian bergerak ke lokasi dan mendapati pihak bomba sedang menjalankan usaha memadamkan kebakaran,” katanya di sini malam ini.
Kim Wai berkata, kebakaran membabitkan bahagian dalam ruang siling wad kanak-kanak dan wad wanita hospital berkenaan.
“Berdasarkan maklumat awal, kira-kira 10 peratus bahagian siling kedua-dua wad terbakar. Kebakaran turut menyebabkan kerosakan pada bahagian pendawaian yang terdapat di atas siling bangunan terbabit,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, enam kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan enam wanita berada di kedua-dua wad berkenaan, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.
Beliau berkata, punca sebenar kebakaran masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak bomba. – UTUSAN










