Jawatan Exco: Ismail serah kepada Jalaluddin

Jawatan Exco: Ismail serah kepada Jalaluddin

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memberi ruang kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias untuk menentukan sendiri kedudukannya dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Beliau berkata, keputusan itu terpulang kepada pendirian Jalaluddin yang kini memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang.

“Setakat ini belum ada perbincangan terperinci lagi (dengan Jalaluddin) dan beliau juga Ahli Parlimen serta ADUN. Jadi terpulang kepada pendirian beliau (untuk menganggotai barisan Exco),” katanya mengulas laporan bahawa Jalaluddin tidak akan menawarkan diri untuk menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri yang baharu.

Kelmarin, media melapor­kan Jalaluddin memutuskan untuk tidak menawarkan diri bagi jawatan berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada calon lain selain menyifatkan pelantikan barisan Exco merupakan hak prerogatif Menteri Besar.

ISMAIL LASIM

Sementara itu, Ismail berkata, beliau menghormati pendirian bekas Exco Kanan Negeri Sembilan itu, dan tidak melihat jawatan sebagai keutamaan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin.

“Saya berlapang dada. Saya bukan baru sehari dalam politik. Saya tidak tamak kuasa. Banyak lagi tugas menanti untuk memenuhi manifesto BN, menunaikan janji kepada rakyat dan memperbaiki kelemahan,” katanya.

Ismail memulakan tugas beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan secara rasmi kelmarin selepas dilantik ke jawatan itu, Ahad lalu.

Beliau meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu pada pukul 9 pagi sebagai tanda melaporkan diri di pejabatnya di Wisma Negeri di sini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, senarai barisan Exco negeri dijangka dimuktamadkan seawal Jumaat ini atau pada Isnin minggu hadapan.

Ia selepas mendapat per­kenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir serta dipersetujui oleh parti-parti dalam kerajaan negeri baharu.

Mengulas mengenai jawatan Exco Kanan, beliau berkata, walaupun terdapat peruntukan bagi jawatan itu, kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan sama ada akan melantiknya atau sebaliknya.

“Tidak semestinya perlu ada Exco Kanan. Kami belum putuskan lagi,” katanya.

Ismail berkata, mewujudkan jawatan timbalan Exco antara perkara yang akan dipertimbangkan bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan ne­geri yang akan dibentuk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×