Yayasan Peneraju sasar 2,000 bakat reka bentuk cip menjelang 2027

Yayasan Peneraju sasar 2,000 bakat reka bentuk cip menjelang 2027

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir (tengah) semasa sesi libat urus bersama alumni, pelajar dan bakat Yayasan Peneraju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Peneraju (YP) menyasarkan untuk membangunkan lebih daripada 2,000 bakat Bumiputera dalam bidang reka bentuk cip front-end menjelang 2027 dengan 150 bakat pada 2026 dan kohort pertama dijangka bermula pada bulan Ogos tahun ini.

Inisiatif itu menyokong sasaran nasional Kementerian Ekonomi untuk melahirkan 10,000 profesional reka bentuk Litar Bersepadu (IC).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pembangunan bakat perlu menjadi asas kepada usaha Malaysia bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor, khususnya dalam bidang reka bentuk IC, pembangunan dan penyelidikan (R&D), harta intelek serta penghasilan produk teknologi tempatan.

“Dunia hari ini sedang berubah dengan pantas. Kecerdasan buatan, pusat data, kenderaan elektrik, automasi industri, keselamatan siber dan teknologi pertahanan semuanya bergantung kepada semikonduktor.

“Malaysia tidak boleh kekal sebagai lokasi pengeluaran semata-mata, kita mesti berani bergerak lebih tinggi dalam rantaian. nilai dengan membina kekuatan dalam teknologi, bakat, harta intelek dan keupayaan syarikat tempatan untuk mencipta nilai sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, di bawah Strategi Semikonduktor Negara, Malaysia menyasarkan pembangunan 10 syarikat semikonduktor tempatan dengan hasil antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion, di samping menyokong sekurang-kurangnya 100 syarikat lain yang berpotensi menjana hasil tahunan sekitar RM1 bilion.

Dalam konteks hala tuju YP bagi tahun 2026 dan seterusnya, beliau menegaskan YP perlu tertumpu kepada pembangunan bakat Bumiputera untuk sektor pertumbuhan tinggi dan pekerjaan masa hadapan.

“Matlamat kita jelas. YP perlu menjadi saluran bakat yang lebih strategik untuk ekonomi masa hadapan.

“Sasaran YP untuk mencapai 7,000 pendaftaran program teknologi pada tahun 2026 dan 15,000 bakat setahun menjelang 2028 bukan sekadar angka penyertaan, tetapi pelaburan jangka panjang.

“Ini untuk memastikan lebih ramai bakat Bumiputera mampu menyumbang dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, teknologi digital, R&D dan industri masa hadapan,” katanya.

Perkembangan ini turut menyokong objektif Rancangan Malaysia Ketiga Belas, termasuk pembangunan terkumpul 100,000 bakat dalam tempoh lima tahun bagi sektor pertumbuhan tinggi dan sedia masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, cita-cita semikonduktor Malaysia mesti disokong oleh saluran bakat yang lebih kukuh.

“Membangunkan bakat muda menerusi latihan yang diiktiraf industri ialah usaha yang membolehkan YP memainkan peranan, sejajar dengan mandat kami untuk memupuk bakat Bumiputera dalam bidang-bidang yang menyokong daya saing jangka panjang Malaysia.

“Inisiatif ini juga mencerminkan peranan YP yang semakin berkembang dalam membangunkan profesional Bumiputera yang bersedia menghadapi masa depan serta mampu menyumbang secara bermakna kepada industri berimpak tinggi dan strategik.

“Ia sejajar dengan peralihan kami daripada membangunkan Pencipta Kekayaan kepada Pencipta Nilai,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif reka bentuk cip front-end ini memperluaskan lagi usaha pembangunan bakat berteraskan teknologi YP ke dalam sektor semikonduktor, khususnya dalam bidang bernilai tinggi yang kritikal kepada ekonomi masa depan Malaysia.

“Selain itu, inisiatif ini juga akan menyumbang kepada matlamat Talent Bank kami, yang bertekad membangunkan 10,000 pemimpin Bumiputera berimpak tinggi menjelang 2030 meliputi sektor perniagaan, profesional dan komuniti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN