Ustaz Azman kerja keras bantu selesai masalah penduduk Sikamat

Ustaz Azman kerja keras bantu selesai masalah penduduk Sikamat

NOR Azman Mohamad ketika menyantuni penduduk sekitar Sikamat dalam kempen PRN Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun dilihat mempunyai kelebihan berban­ding dua lagi pencabarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad, 46, tetap menganggap beliau masih perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kerusi itu terus kekal menjadi milik parti ber­kenaan.

Mesra disapa Ustaz Azman, beliau berkata, tanggungjawab yang digalas bukanlah mudah memandangkan penyandang kerusi DUN Sikamat sebelum ini yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, telah meninggalkan legasi perkhidmatan yang cemerlang sebagai wakil rakyat sejak memenangi kerusi itu pada 2008.

“Saya tetap perlu bekerja keras memperkenalkan diri kerana ini kali pertama saya bertanding di DUN Sikamat.

“Saya perlu bertemu seramai mungkin pengundi untuk memperkenalkan diri. Mereka me­ngenali Datuk Seri Aminuddin Harun tetapi belum tentu me­ngenali Nor Azman Mohamad. Sebab itu saya perlu berusaha lebih gigih untuk mendekati seramai mungkin pengundi di sini.

“Saya cuba bertemu orang ramai secara bersemuka sama ada di rumah, tempat awam mahupun melalui program yang diatur oleh jentera parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Nor Azman yang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan sejak 2022 berkata, pengalaman itu banyak membantunya memahami keperluan masyarakat serta isu yang dihadapi penduduk di DUN Sikamat.

“Kalau benar saya menjadi pilihan pengundi, saya amat bersyukur. Namun, saya tidak pernah memandang mudah persaingan kali ini kerana terdapat pelbagai perubahan dan sentimen yang dimainkan.

“Saya berharap pengundi di DUN Sikamat dapat membuat penilaian secara rasional terhadap gerak kerja PH, sama ada di peringkat DUN mahupun kerajaan negeri, supaya pentadbiran PH dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata, maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen setakat ini amat memberangsangkan dan berharap sokongan tersebut dapat diterjemahkan melalui peti undi pada 1 Ogos ini.

Berkelulusan Ijazah Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir, Nor Azman berkata, isu kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak merupakan antara masalah utama yang dihadapi penduduk di DUN

Sikamat yang majori­tinya menetap di kawasan taman perumahan yang telah lama diba­ngunkan.

Menurutnya, kesesakan bukan sahaja berlaku ketika orang ramai keluar bekerja malah pada waktu ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.

“Kesesakan sering berlaku pada waktu puncak. Ketika ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah, bagi penduduk Sikamat, itu merupakan satu keka­ngan. Hendak keluar menuju ke bandar Seremban ataupun ke lebuh raya memang mengambil sedikit masa.

“Melihat kepada situasi ini, saya berpandangan Sikamat memerlukan jalan-jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan trafik dan ia perlu dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata, usaha mena­ngani isu berkenaan bukan sahaja dapat melancarkan perge­rakan harian penduduk, malah meningkatkan keselesaan serta mengurangkan masa perjalanan.

DUN Sikamat mempunyai­ seramai 33,948 pengundi. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ne­geri Sembilan kali ini, Nor Azman berdepan dua lagi calon yang masing-masing turut membuat penampilan sulung di kerusi tersebut.

Pada PRN 2023, Aminuddin mempertahankan kerusi DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 undi, sekali gus meneruskan penguasaan PH di kawasan itu sejak 2008.

NOR AZMAN MOHAMAD

Sementara itu, Nor Azman yang juga Ketua Penerangan PKR Negri Sembilan menegaskan, tuduhan bahawa kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Aminuddin gagal mempertahankan institusi diraja dan adat di negeri ini merupakan dakwaan yang tidak bersandarkan fakta.

Sebaliknya, sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, kerajaan PH sentiasa me­laksanakan pelbagai program bagi memelihara dan mengembangkan adat selain menyediakan peruntukan khas untuk memperkasakan Adat Perpatih.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut menaikkan elaun Datuk-Datuk Undang Yang Empat serta ketua-ketua adat sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka.

“Dakwaan yang dilemparkan itu adalah tuduhan jahat yang cuba mengheret sesuatu perkara yang bukan fakta daripada rea­liti sebenar.

“Kita boleh lihat sendiri apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Daripada sudut adat, kita sentiasa menjunjung Adat Perpatih dan setiap tindakan kerajaan negeri juga sudah tentu berasaskan Undang-Undang Tubuh kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan ne­geri turut menyediakan dana khas di bawah Muzium Ne­geri bagi memperkasakan Adat Perpatih termasuk membantu setiap luak menganjurkan program berkaitan adat, budaya dan warisan.

“Peruntukan ini disediakan untuk diberikan kepada luak-­luak yang mahu mengadakan program seperti memperkenalkan masakan tradisional, budaya serta warisan masing-ma­sing,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran Perpatih Fest setiap tahun turut menjadi platform penting untuk mendekatkan masyarakat, khususnya golongan muda dengan Adat Perpatih.

“Kerajaan negeri memperkasakan Adat Perpatih menerusi penganjuran Perpatih Fest se­tiap tahun. Tujuannya adalah untuk mendekatkan adat ini kepada masyarakat, terutama generasi muda.

“Peruntukan bagi penganjuran festival itu juga agak besar kerana kita mahu memastikan Adat Perpatih terus dikenali, dihayati dan dipelihara oleh masyarakat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN