Tauliah bagi kekang hadis palsu, cerita karut di media sosial

Tauliah bagi kekang hadis palsu, cerita karut di media sosial

MOHD. SUKKI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan mewajibkan tauliah bagi penceramah agama di platform dalam talian dan media sosial sebagai benteng penyebaran hadis palsu, cerita karut serta tafsiran agama yang mengelirukan masyarakat.

Cadangan itu sedang diteliti kerajaan termasuk keperluan memperkemaskan peruntukan undang-undang sedia ada susulan kebimbangan lambakan kandungan agama yang disampaikan individu tanpa kelayakan di media sosial.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, media sosial kini menjadi antara medium utama masyarakat mendapatkan ilmu agama, justeru platform digital yang mempunyai capaian jauh lebih luas turut memerlukan mekanisme kawal selia yang bersesuaian.

Katanya, sekiranya penyam­paian agama di masjid dan surau memerlukan tauliah bagi memastikan kesahihan ilmu serta memelihara keharmonian masyarakat, pendekatan sama wajar dipertimbangkan untuk ceramah agama di media sosial.

“Bagaimanapun, pelaksana­annya hendaklah dibuat secara berhikmah dengan mengambil kira bentuk kandungan yang disampaikan.

“Perlu dibezakan antara ceramah, kuliah, fatwa dan pengajaran agama secara formal dengan perkongsian nasihat, tazkirah ringkas atau bacaan al-Quran.

“Justeru, garis panduan yang je­las amat diperlukan supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bahawa kerajaan sedang meneliti keperluan mewajibkan tauliah bagi penyampaian ceramah agama menerusi platform dalam talian dan media sosial.

Mohd. Sukki berkata, pihak mufti sering menerima pertanyaan daripada orang ramai berkaitan hadis tidak sahih, petua agama tanpa sandaran, dakwaan mengenai akhir zaman, ruqyah serta pelbagai tafsiran agama tidak tepat yang tersebar di media sosial.

Katanya, keadaan itu lebih membimbangkan apabila kandungan sedemikian disampaikan dengan gaya yang meyakinkan sehingga masyarakat awam sukar membezakan antara fakta dengan rekaan.

“Setiap penyampaian agama hendaklah berasaskan disiplin ilmu, rujukan yang muktabar serta semakan terhadap kesahihan dalil,” katanya.

Beliau berkata, fenomena individu menyampaikan urusan agama tanpa kelayakan yang mencukupi juga semakin ketara sehingga berpotensi mengelirukan masyarakat.

Mengulas trend segelintir pencipta kandungan menggunakan ceramah agama untuk meraih hadiah (gift), tontonan dan keuntungan, beliau berkata, Islam tidak menghalang seseorang menerima imbuhan hasil usaha menyampaikan ilmu selagi mematuhi syarak.

“Namun apabila kandungan agama diolah semata-mata untuk mengejar tontonan, sensasi atau keuntungan sehingga mengabaikan ketepatan ilmu, keadaan itu amat membimbangkan.

“Dakwah hendaklah berpaksikan keikhlasan, amanah ilmiah dan tanggungjawab terhadap masyarakat, bukannya sekadar mengejar populariti atau pulangan kewangan.

“Tauliah bukan penyelesaian mutlak, sebaliknya perlu dilaksanakan bersama usaha memperkukuh literasi agama, pemantauan berkesan, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama platform media sosial bagi memastikan penyebaran ilmu agama kekal sahih, berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad pula berkata, keperluan tauliah untuk ceramah di media sosial selari dengan keperluan semasa.

“Fungsi tauliah untuk mengawal aktiviti para pendakwah, jadi ia tidak begitu berbeza dengan lesen yang diperlukan dalam kehidupan harian seperti lesen memandu dan sebagainya.

“Hakikatnya, jika ia tidak dikawal, terutama di media sosial, agama Islam akan mudah diselewengkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, sementara menunggu tindakan lanjut da­ripada pihak kerajaan, umat Islam dinasihatkan supaya se­ntiasa mengamalkan prinsip tabayyun.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan sendiri mempunyai kuasa untuk me­ngambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menyampaikan perkara tidak benar mengenai ajaran Islam, sama ada secara fizikal mahupun di media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN