Siasatan KWAP masuk fasa kerjasama antarabangsa – Abdul Halim

Siasatan KWAP masuk fasa kerjasama antarabangsa – Abd Halim

Abd Halim Aman mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ASEAN Parties Against Corruption (ASEANPAC) Ke-22 di Banda Hilir, hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memasuki fasa kerjasama antarabangsa dalam siasatan pelaburan melibatkan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) apabila proses mendapatkan dokumen dan keterangan saksi di luar negara akan dilaksanakan menerusi Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance, MLA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, SPRM kini bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara bagi memulakan proses MLA kerana terdapat dokumen penting serta saksi yang berada di luar negara.

Menurutnya, tiga negara telah dikenal pasti untuk proses tersebut iaitu Dubai (Emiriah Arab Bersatu), Singapura dan Indonesia memandangkan dokumen berkaitan pelaburan dipercayai berada di negara terbabit.

“Ketika ini, kami hanya meneliti dokumen yang diperoleh daripada KWAP dan Kementerian Kewangan sahaja namun, saya percaya masih terdapat beberapa dokumen berkaitan pelaburan tersebut yang berada di luar negara dan perlu diperoleh bagi melengkapkan siasatan.

“Selain itu, kami juga perlu merakam keterangan beberapa saksi yang telah dikenal pasti yang kini mereka ini masih berada di negara-negara berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ASEAN Parties Against Corruption (ASEANPAC) Ke-22, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, proses MLA dijangka mengambil masa yang agak lama kerana melibatkan bidang kuasa yang berbeza serta memerlukan kerjasama daripada pihak berkuasa di tiga negara terbabit.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, siasatan kes berkenaan berjalan mengikut perancangan dan SPRM akan terus mendapatkan semua bukti yang diperlukan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Siasatan masih diteruskan dan kami akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa apabila terdapat kemajuan baharu dicapai,” katanya.

Menurutnya, siasatan telah bermula secara rasmi pada 17 Julai lalu dan dilaksanakan sepenuhnya bermula 20 Julai, kini berjalan lancar dengan pelbagai tindakan telah diambil bagi mengumpul bukti.

Beliau berkata, setakat ini seramai 20 individu telah dirakam keterangan membabitkan pegawai-pegawai KWAP, pegawai Kementerian Kewangan (MOF), ahli Jawatankuasa Pelaburan Kewangan serta ahli panel pelaburan yang terlibat dalam membuat keputusan berkaitan pelaburan berkenaan.

Menurutnya, SPRM juga telah mengutus surat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan kerjasama dalam dua perkara utama.

“Pertama, mendapatkan maklumat kewangan melalui rangkaian kerjasama antarabangsa bagi mengesan kedudukan kewangan tiga syarikat di luar negara iaitu sebuah di Singapura dan dua di Indonesia.

“Kedua, menjalankan semakan terhadap Laporan Transaksi Tunai (CTR) dan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) bagi mengenal pasti aliran kewangan pihak-pihak yang berkaitan dalam siasatan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN