SEREMBAN: Pengumuman calon Menteri Besar lebih awal memberi kelebihan kepada gabungan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ia membolehkan pengundi membuat penilaian terhadap bakal pemimpin negeri berdasarkan rekod prestasi, pengalaman pentadbiran serta kemampuan melaksanakan manifesto yang ditawarkan.
Setakat ini, hanya Pakatan Harapan (PH) yang menamakan calon MB daripada gabungan itu, iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga penyandang dan calon tunggal untuk mengisi jawatan berkenan jika PH diberi mandat.
Sementara parti lain sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) mahupun Bersatu, setakat berita ini ditulis, masih berteka-teki belum ada pengumuman rasmi siapa calon MB mereka.
Di pihak BN dan PN, beberapa nama disebut-sebut sebagai calon berpotensi mengisi jawatan itu, sekiranya kerjasama berkenaan berjaya membentuk kerajaan negeri. Antaranya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Turut diramal kembali ke kerusi berkenaan ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini Menteri Luar.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika berucap dalam ceramah di Jelebu, sebelum ini menyebut, Jalaluddin yang mempertahankan kerusi DUN Pertang, sebagai antara calon Menteri Besar.
Beliau berkata, kedua-dua pihak perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum memuktamadkan calon yang akan diumumkan kepada rakyat.
Sementara Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika ditemui Utusan Malaysia pula berkata, Mohamad yang juga calon BN di DUN Rantau layak dipertimbangkan untuk kembali menerajui pentadbiran negeri sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Katanya, pengalaman Mohamad dalam menerajui pentadbiran Negeri Sembilan menjadikan Ahli Parlimen Rembau itu antara pilihan bagi jawatan itu.
“BN tidak berdepan masalah dalam soal calon Menteri Besar kerana mempunyai ramai pilihan termasuk tokoh berpengalaman dan calon muda yang mempunyai pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“BN hari ini menampilkan Tok Mat yang mempunyai pengalaman sebagai Menteri Besar yang lama dan panjang dalam mentadbir Negeri Sembilan.
“Kita ada pilihan yang muda-muda begitu ramai yang sudahpun ada pengalaman selama dua tahun lapan bulan sebagai ADUN,” katanya.
Bagi calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin pula, penentuan calon MB akan diputuskan oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN serta kepemimpinan tertinggi parti.
Beliau berkata, isu siapa calon Menteri Besar tidak seharusnya menjadi polemik kerana BN mempunyai proses tersendiri dalam menentukan kepemimpinan negeri.
“Kami memang ada ramai calon yang berkemampuan untuk menjadi menteri besar. Jadi, kami serahkan kepada presiden parti dan kepemimpinan tertinggi untuk menentukan siapa calon yang paling sesuai,” katanya.
Bagi Penganalisis Politik, Dr. Mazlan Ali, kepastian mengenai calon yang bakal menerajui kerajaan negeri memberikan gambaran lebih jelas kepada pengundi dalam menentukan pilihan mereka.
Menurutnya, langkah itu juga boleh menjadi strategi yang baik kerana membolehkan pengundi membuat perbandingan antara calon sedia ada dengan calon yang ditawarkan gabungan berkenaan.
“Jika calon Menteri Besar tidak diumumkan, ia boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi mengenai kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan selepas pilihan raya atau ketidakpastian mengenai siapa yang akan mengetuai kerajaan negeri.
“Keadaan itu boleh menyebabkan pengundi berasa ragu-ragu kerana mereka tidak mendapat gambaran jelas mengenai arah pentadbiran yang bakal dibawa selepas pilihan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN










