KUALA LUMPUR: Plaza Tol Simpang Pulai masih beroperasi dalam kapasiti yang ditetapkan dan mampu menampung peningkatan aliran trafik pada hujung minggu serta musim perayaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, analisis kapasiti trafik menunjukkan plaza tol berkenaan kekal pada Tahap Perkhidmatan A.
“Di plaza masuk terdapat dua lorong pelbagai kelas menggunakan Touch ‘n Go serta satu lorong hibrid RFID dan Touch ‘n Go. Manakala di plaza keluar pula terdapat dua lorong pelbagai kelas Touch ‘n Go serta masing-masing satu lorong khas bagi Touch ‘n Go, RFID dan SmartTAG.
“Selain itu, syarikat konsesi turut menyediakan petugas yang membantu pengguna membuat pembayaran tol menggunakan peranti mudah alih ketika waktu puncak dan musim perayaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng sama ada Kementerian Kerja Raya (KKR) akan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mengkaji semula susun atur dan saiz Plaza Tol Simpang Pulai berikutan peningkatan trafik.
Mengulas lanjut, Alexander turut berkata, purata trafik harian di plaza masuk mencatatkan 13,864 kenderaan pada hari biasa dan meningkat kepada 15,251 kenderaan pada hujung minggu.
Bagi plaza keluar pula, purata trafik adalah sebanyak 13,051 kenderaan pada hari biasa berbanding 13,767 kenderaan pada hujung minggu.
“Semasa musim perayaan dan cuti Hari Pekerja lalu, jumlah trafik yang memasuki Plaza Tol Simpang Pulai berada dalam lingkungan 14,904 hingga 16,656 kenderaan sehari, manakala trafik keluar antara 12,900 hingga 14,564 kenderaan sehari,” katanya.
Katanya, kesesakan yang berlaku sebenarnya berpunca daripada limpahan trafik di rangkaian jalan Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di luar kawasan plaza tol yang telah mencapai kapasiti maksimum.
“Bagi penyelesaian jangka pendek, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR Perak telah memasang sistem Smart Traffic Light di beberapa persimpangan yang dikenal pasti mengalami kepadatan trafik tinggi termasuk di kawasan berkenaan.
“Sistem ini menggunakan teknologi pintar untuk mengoptimumkan tempoh lampu isyarat mengikut keadaan trafik semasa sekali gus membantu melancarkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Dalam masa sama, katanya lagi, LLM bersama syarikat konsesi akan terus memantau prestasi operasi trafik di Plaza Tol Simpang Pulai melalui analisis isipadu trafik, nisbah isipadu kepada kapasiti (Volume Capacity Ratio) serta tahap perkhidmatan (LOS).
“Jika penilaian menunjukkan prestasi operasi menghampiri had kapasiti atau berlaku kemerosotan tahap perkhidmatan, kajian lanjut akan dilaksanakan bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan yang bersesuaian,” katanya. – UTUSAN










