DUBAI: Pasukan Polis Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) melangkah ke hadapan dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya dengan memperkenalkan sistem radar kecerdasan buatan (AI) yang lebih maju bagi mengesan pelbagai bentuk pelanggaran trafik secara lebih tepat dan menyeluruh.
Rangkaian sistem pintar yang dipasang di sepanjang jalan raya utama serta kawasan persimpangan lampu isyarat ini bukan sahaja berfungsi memantau had laju, malah berupaya mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat merah, penukaran lorong secara berbahaya serta gangguan tumpuan ketika memandu.
Langkah drastik ini menyaksikan pemandu yang ingkar bakal berdepan hukuman sita kenderaan demi memastikan keselamatan jalan raya yang lebih terjamin.
Kesalahan memandu melebihi had laju dikategorikan mengikut tahap kelajuan jentera bermula daripada tindakan memandu melebihi had laju melebihi 80 kilometer sejam (km/j) dan melebihi 60 km/j, yang mana kedua-dua kategori ini akan berdepan tindakan sita kenderaan.
Selain itu, sistem radar pintar ini turut mengesan kadar pemanduan yang melebihi had laju bagi kategori tidak melebihi 50 km/j, tidak melebihi 40 km/j, tidak melebihi 30 km/j, sehingga kepada tahap pemanduan tidak melebihi 20 km/j.
Tindakan tegas turut menanti pemandu yang dikesan melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah di bawah Undang-Undang Trafik UAE.
Isu disiplin di lorong jalan raya turut dipandang serius di mana sistem AI pada radar ini mampu menganalisis corak pemanduan agresif atau cuai yang tidak mengikut peraturan lorong yang betul.
Antara kesalahan spesifik yang dikesan termasukl tindakan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, melakukan penukaran haluan secara mengejut serta mengekor kenderaan hadapan terlalu rapat.
Bagi kesalahan hilang tumpuan ketika memandu khususnya melibatkan penggunaan telefon bimbit, sistem radar AI ini memiliki keupayaan tinggi untuk mengesan pergerakan tangan pemandu serta pancaran cahaya daripada skrin peranti berkenaan.
Kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar juga boleh dikesan dengan sangat tepat oleh sistem radar AI ini, yang mana ia mampu membezakan antara warna pakaian penumpang dengan tali pinggang keledar walaupun dalam keadaan pencahayaan yang sangat rendah atau gelap.
Penggunaan lapisan cermin gelap atau filem penapis haba tanpa kebenaran termasuk pada cermin hadapan kenderaan kini boleh dikesan secara automatik oleh sistem radar tersebut sebelum maklumat kesalahan disalurkan untuk tindakan lanjut.
Kenderaan yang melakukan pengubahsuaian haram sehingga menyebabkan bunyi bising yang melampau atau sengaja meningkatkan kelajuan jentera akan berdepan hukuman sangat ketat di bawah undang-undang jenayah trafik Dubai.
Kesalahan terakhir yang dipantau rapat oleh radar pintar ini melibatkan tindakan memandu kenderaan yang telah tamat tempoh pendaftaran rasminya dan akan terus disita oleh pihak berkuasa sebagai tindakan penguatkuasaan. – AGENSI










