Perak antara empat negeri atasi pertumbuhan KDNK nasional

Perak antara empat negeri atasi pertumbuhan KDNK nasional

SAARANI Mohamad melawat kilang baharu Sinopont Everthriving (Malaysia) Sdn. Bhd. pada majlis perasmian kilang solar itu di kawasan Perindustrian Tasek, Ipoh pada 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak mencuri tumpuan apabila muncul antara empat negeri yang merekodkan kadar pertumbuhan ekonomi melebihi paras nasional pada 2025 selepas ekonomi negeri berkembang 5.7 peratus, mengatasi pertumbuhan negara sebanyak 5.2 peratus.

Laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Mengikut Negeri 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan nilai ekonomi Perak meningkat kepada RM91.5 bilion berbanding RM86.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Prestasi itu meletakkan Pe­rak sebaris dengan Johor, Pulau Pinang dan Selangor sebagai nege­ri yang mencatat pertumbuhan ekonomi melebihi kadar nasional, sekali gus mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang terus kukuh.

Malah, Perak turut merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh sedekad pada kadar 5.7 peratus, didorong lonjakan sektor pembuatan, khususnya industri peralatan pe­ngangkutan dan automotif.

Pertumbuhan tersebut dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan yang melonjak 15.2 peratus, berbanding 5.1 peratus pada 2024, hasil prestasi memberangsangkan subsektor kelengkapan pengangkutan, pembuatan lain dan aktiviti pembaikan.

Sektor perkhidmatan pula berkembang 3.4 peratus, didorong peningkatan aktiviti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta perkhidmatan kerajaan.

Pada masa sama, sektor pembinaan mencatat pertumbuhan 8.1 peratus, dipacu aktiviti pembinaan khusus dan kejuruteraan awam, manakala sektor pertanian yang menyumbang 13.6 peratus kepada ekonomi negeri berkembang 1.2 peratus, hasil peningkatan dalam subsektor tanaman dan ternakan.

Dalam kalangan negeri yang mengatasi kadar pertumbuhan nasional itu, pencapaian Perak turut mempunyai nilai tersendiri memandangkan negeri ini bukan antara hab logistik utama negara, namun masih berupaya merekodkan pertumbuhan kukuh hasil kekuatan sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian.

Prestasi memberangsangkan itu turut dilihat selari dengan pelaksanaan agenda pemba­ngunan ekonomi jangka panjang kerajaan negeri menerusi lima nod pembangunan strategik yang sedang dipacu, iaitu Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di Manjung, Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Kerian serta Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) di Lekir.

Kelima-lima pembangunan itu dijangka memperkukuh ekosistem perindustrian Perak menerusi pembangunan sektor automotif, teknologi, maritim, industri hijau dan halal, selain menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN