PETALING JAYA: Peningkatan kadar bantuan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka meningkatkan keperluan perbelanjaan kerajaan serta berkemungkinan menjejaskan sasaran defisit fiskal sekiranya hasil kerajaan dan pertumbuhan ekonomi tidak terus berkembang.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata, kesan terhadap kedudukan fiskal kerajaan bergantung kepada beberapa faktor termasuk pertambahan hasil kerajaan dan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, sekiranya hasil kerajaan meningkat menerusi kutipan cukai atau pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, peningkatan perbelanjaan bagi program SARA masih boleh ditampung tanpa memberi kesan besar kepada sasaran defisit.
“Sudah tentu peningkatan SARA akan menambahkan keperluan belanjawan kerajaan. Namun, sama ada ia akan meningkatkan defisit atau tidak bergantung kepada sumber pendapatan kerajaan.
“Jika hasil kerajaan bertambah, sama ada melalui pengenalan cukai baharu, peningkatan kutipan cukai atau pertumbuhan KDNK, kesan terhadap defisit fiskal boleh dikurangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan peningkatan kadar bantuan di bawah program SARA akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kadar baharu itu akan diselaraskan dengan pelaksanaan di Negeri Sembilan sebagai usaha memperkukuh kebajikan rakyat.
Mengulas kemungkinan peningkatan kadar SARA memberi tekanan kepada inflasi, Barjoyai berkata, bantuan yang lebih tinggi akan meningkatkan kuasa beli rakyat sekali gus merangsang permintaan dalam pasaran.
Beliau berkata, peningkatan permintaan itu berpotensi memberi tekanan kepada harga barang bergantung kepada jumlah tambahan pendapatan yang diterima oleh isi rumah.
“Apabila pengguna mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan akan meningkat. Dalam keadaan tertentu, ia boleh menyumbang kepada peningkatan inflasi,” katanya.
Sementara itu, pertambahan peruntukan bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berpotensi memberi tekanan terhadap sasaran defisit fiskal kerajaan, terutama ketika Putrajaya masih menanggung komitmen subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah RM40 bilion setahun.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pertambahan peruntukan bagi program SARA berpotensi memberi tekanan terhadap sasaran defisit fiskal kerajaan, terutama ketika kerajaan masih menanggung komitmen subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah RM40 bilion setahun.
Beliau berkata, perkara itu sememangnya berkemungkinan berlaku sekiranya peningkatan perbelanjaan tidak diseimbangkan dengan keupayaan hasil kerajaan.
Bagaimanapun, beliau percaya setiap perubahan dasar berkaitan bantuan rakyat akan melalui penelitian melibatkan pelbagai agensi bagi menilai kesan terhadap ekonomi makro negara.
“Sememangnya itu adalah perkara yang mungkin berlaku. Namun, saya percaya setiap langkah akan dibincangkan dengan pelbagai agensi bagi mendapatkan maklum balas yang tepat tentang sebarang perubahan dasar serta kesannya kepada makroekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










