PETALING JAYA: Sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) tidak terjejas ekoran kerjasama antara UMNO dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, prestasi pentadbiran dan isu-isu setempat menjadi pertimbangan utama pengundi Cina berbanding persefahaman politik yang dijalin antara kedua-dua parti itu.
Menurut beliau, pengundi Cina kini semakin matang dan bijak membuat penilaian terhadap sesuatu parti atau calon, selain tidak mudah dipengaruhi retorik politik dan sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu sepanjang kempen pilihan raya.
Katanya, apa yang lebih penting kepada rakyat ialah keupayaan kerajaan negeri menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi serta kemudahan asas yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian mereka.
“Bagi saya, jentera parti perlu fokus memberi tumpuan kepada isu rakyat dan pembangunan negeri supaya keyakinan pengundi dapat diperkukuhkan dan diterjemahkan dalam bentuk sokongan pada hari pengundian nanti.
“Tidak perlu panjangkan cerita, lebih baik fokus bagaimana hendak menempuh PRN Negeri Sembilan ini serta memastikan mesej dan dasar yang dibawa sampai kepada pengundi di semua peringkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung sebelum ini mempersoalkan dakwaan persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pas kerana disifatkan bercanggah dengan prinsip gabungan itu.
Choo Seong turut mengingatkan semua pihak supaya tidak berbalah sesama sendiri ketika menghadapi pilihan raya.
“Kalau tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya titipkanlah doa buat rakan-rakan yang sedang berjuang.
“Di medan perjuangan, tiada ruang untuk kita saling bercakaran kerana musuh sedang menanti di hadapan. Yang paling penting, jangan sesekali terperangkap dengan permainan dan perangkap lawan,” katanya.
Beliau berkata, apa yang diperlukan ketika ini ialah semangat, sokongan dan doa agar setiap perjuangan dipermudahkan.
“Buang yang keruh, ambillah yang jernih, semoga kita semua sentiasa menjadi insan yang membawa manfaat, bukan mudarat,” katanya. – UTUSAN










