Penempatan haram warga asing diroboh

Penempatan haram warga asing diroboh

SEBAHAGIAN rumah kongsi yang dirobohkan dalam tindakan penguatkuasaan MBSA di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam, Shah Alam, Selangor.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ratusan penempatan haram warga asing di Setia Alam dan Kampung Budiman di sini dirobohkan manakala pemilik tanah pula diarah memulihkan semula kawasan berkenaan.

Majlis Ban­da­ra­ya Shah Alam (MBSA) dalam ke­nyataan kepada Utusan Malaysia juga mengesahkan semua rumah kongsi yang dibina da­lam lot persendirian itu tidak mempunyai sebarang kelulusan.

“Proses perobohan masih di­la­­kukan, pemantauan secara ber­­­­te­­rusan akan dilaksanakan ba­gi memastikan kerja-kerja pe­ro­­bohan disempurnakan sepenuhnya.

“Tindakan yang diambil oleh MBSA adalah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah atau struktur di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 untuk merobohkan binaan kongsi.

“Notis Borang D iaitu Notis Supaya Memulihkan Semula Tanah kepada Keadaan Asal Dalam Hal Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang juga dikeluarkan kepada pemilik tanah di bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976,” katanya.

Semalam, akhbar ini me­laporkan ratusan penempatan haram yang mungkin didiami warga asing terus wujud di kawasan pinggir bandar raya ini meski serbuan dan tindakan penguatkuasaan sudah berkali-kali dilakukan.

Warga asing yang rata-rata­nya didakwa warga Indonesia tidak gentar malah berani membuka penempatan baharu berhampiran lokasi asal bagi membolehkan mereka terus tinggal secara percuma dan memaksimumkan pendapatan.

Tinjauan di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam dan Jalan Hamzah, Kampung Budiman di sini mendapati ada penempatan haram dibina di kawasan ladang kelapa sawit sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan berterusan dilakukan.

MBSA sementara itu memaklumkan, pemilik tanah yang dijadikan penempatan haram te­lah lebih awal diarahkan untuk memulihkan kawasan berkenaan namun enggan berbuat demikian.

“Pemilik tanah berkenaan berdegil dan enggan mematuhi peraturan tersebut selepas notis dikeluarkan pada 29 April dan 10 Jun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, menurut pihak berkuasa tempatan itu, sehingga kini tiada aduan baharu diterima berkenaan kewujudan sebarang penempatan haram di tempat lain dalam kawasan Shah Alam.

Katanya, pemilik tanah juga telah dinasihatkan supaya menaikkan pagar untuk mengelakkan tanah tersebut daripada diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pemantauan dan semakan di tapak akan dilaksanakan oleh MBSA dan agensi-agensi yang terlibat seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan polis.

“Setakat ini tiada aduan baharu yang diterima sama ada kawasan tanah rezab kerajaan atau persendirian yang dija­dikan penempatan rumah kongsi.

“Sekiranya penduduk se­tem­­pat mempunyai maklu­mat penempatan warga asing dan kewujudan rumah rumah tanpa kelulusan atau agensi-agensi terlibat, aduan boleh dibuat melalui Sistem SISPA atau Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Daerah Tanah Petaling atau Pejabat Daerah Tanah Klang,” ujarnya.

Sementara itu, dalam per­kem­bangan berkaitan, pihak ber­kuasa negeri wajar meminda atau menggubal undang-undang sedia ada berkaitan boarding house tempat tinggal secara berkelompok atau beramai-ramai dalam mengawal penggunaan premis sebagai tempat tinggal.

Peguambela dan peguamca­ra, Datuk Yaacob Md. Sam ber­kata, ketika ini tiada undang-undang yang boleh melarang pemilik tanah membenarkan penempatan warga asing.

Katanya, ia asalkan bangunan untuk penempatan tersebut mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan warga asing tersebut memiliki pas memasuki serta tinggal di negara ini yang tidak melanggar undang-undang imigresen.

“Semua pembangunan yang menggunakan tanah adalah tertakluk kepada jenis dan kategori penggunaan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

“Setiap rancangan pembangunan tanah seperti pembinaan bangunan untuk perumahan atau residensi perlu mendapat kelulusan merancang dan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

“Kajian dan pembaharuan semula ke atas enakmen boarding house ini akan melengkapkan lagi kawalan ke atas pembinaan serta penggunaan bangunan yang perlu mematuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan.” katanya ketika dihubungi.

Yaacob yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan berkata, Malaysia tidak mempunyai apa-apa perundangan atau akta khusus yang membolehkan pemberimilikan tanah kepada warga asing untuk membina penempatan.

Katanya, undang-undang sedia ada wajar dikekalkan iaitu milikan tanah diberikan hanya kepada warganegara atau mengikut polisi rumah kedua yang dibenarkan kerajaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN