Fungsi UNHCR akan dikaji semula - Mohamad

Fungsi UNHCR akan dikaji semula – Mohamad

MOHAMAD Hasan beramah mesra dengan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada proses undi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Dewan Angkasaraya Pangkalan TUDM Sendayan, Seremban, semalam. - UTUSAN/ ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajan akan mengambil pendirian lebih tegas dengan menilai semula kewujudan dan peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara ini tidak boleh menjadi magnet kepada pelarian dari negara lain sehingga kemasukan mereka tidak boleh dibendung.

Beliau berkata, ketika ini, tiada prosedur operasi standard (SOP) atau perjanjian rasmi yang mengawal operasi UNHCR, termasuk berkaitan proses pendaftaran dan pengeluaran kad UNHCR yang boleh dimohon secara dalam talian sebelum individu berkenaan tiba di negara ini.

“Ini kita perlu uruskan kalau mereka tidak mahu bekerjasama. Sudah sampai masanya, kita menimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara kita. Itu pandangan saya, supaya kita tidak terus terbeban.

“Ini sebagai satu magnet kepada pelarian-pelarian datang ke Malaysia kerana adanya pejabat UNHCR dan boleh bagi kad dengan sewenang-wenangnya. Itu perlu kita urus dengan baik,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Pangkalan Udara Sendayan, di sini semalam.

Mohamad berkata, fungsi asal UNHCR di negara ini adalah untuk mengurus penempatan semula pelarian Vietnam ke negara ketiga, dan peranan itu sepatutnya telah berakhir selepas krisis tersebut selesai.

Namun, beliau mempersoalkan mengapa organisasi itu masih kekal beroperasi di negara ini tanpa sebarang Host Country Agreement (HCA) yang jelas dengan kerajaan.

Beliau pada masa sama menjelaskan perkara itu telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan HCA diwujudkan.

Perjanjian itu, katanya, penting bagi menetapkan skop kuasa, tanggungjawab serta had tindakan UNHCR di Malaysia agar operasinya tertakluk kepada garis panduan dan prosedur yang dipersetujui kerajaan.

“Perjanjian itu mereka boleh buat apa atau mereka tak boleh buat itu dan ini. Tetapi nampaknya sekarang tiada apa-apa. Tiada SOP. Kad (UNCHR) itu boleh buat (permohonan) online dari Myanmar, datang sini ambil kad terus, apa saringan kita?” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang bertindak mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan di negara ini.

Anwar berkata, agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JIM serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN