Beri kerja lebih baik dari sediakan penempatan khas

Beri kerja lebih baik dari sediakan penempatan khas

CADANGAN membina penempatan khas kepada etnik Rohingya di negara ini dilihat bakal membebankan kewangan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Etnik Rohingya di negara ini perlu diberi peluang pekerjaan berbanding membina penempatan khas memandangkan jumlah pelarian berasal dari Myanmar tersebut berjumlah 126,000 orang yang berpotensi membebankan kewangan negara.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof. Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, cadangan menjadikan pelarian Rohingya sebagai sumber tenaga manusia telah disuarakan oleh pelbagai pihak kerana memberi impak positif kepada golongan tersebut.

Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membenarkan pelarian ini bekerja di sektor bersesuaian dengan syarat tertentu sementara mereka menunggu dipindahkan ke negara ketiga.

“Cadangan ini lebih realistik kerana industri sudah tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja asing memandangkan jumlah pelarian Rohingya di Malaysia agak ramai untuk memenuhi kuota yang diperlukan majikan. Cuma, mereka ini mungkin perlu diberikan latihan kemahiran sebelum bekerja.

“Mereka ini perlu diberikan peluang pekerjaan dengan sistem tersusun sekali gus dapat menjana pendapatan sendiri sementara menunggu permohonan berpindah ke negara ketiga diluluskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, ketiadaan peluang menjana pendapatan untuk keluarga mengakibatkan pelbagai masalah sosial timbul membabitkan golongan tersebut.

Sedangkan, katanya, cadangan menyediakan peluang pekerjaan kepada pelarian tersebut sangat baik kerana apabila golongan itu mampu menjana pendapatan sendiri, mereka boleh membiayai kehidupan termasuklah kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Mereka ini kebanyakannya menetap di sini melebihi 10 tahun, jadi tenaga kerja mereka worth of investment (pelaburan yang berbaloi).

“Apabila kita memberikan kemahiran pekerjaan kepada mereka sama ada di sektor pembinaan, perladangan, baik-pulih, pembuatan, perkhidmatan dan lain-lain, ia akan meningkatkan peluang mereka diterima ke negara ketiga berbanding pelarian yang tiada apa-apa kemahiran,” katanya.

Pada masa sama, Kamal Nasharuddin berkata, beliau melihat cadangan membina penempatan khas bagi pelarian tersebut merupakan satu usaha yang membebankan kewangan kerajaan.

Katanya, penempatan khas perlu dibina dengan pelbagai prasarana seperti infrastruktur, bekalan elektrik, air dan lain-lain kemudahan termasuk penjagaan kesihatan yang melibatkan kos sangat besar hanya kerana mahu memantau keberadaan mereka.

“Adakah kerajaan mampu menyediakan peruntukan sebesar itu untuk mereka? Perlu diingat walaupun jumlah berdaftar dengan UNHCR adalah sekitar 126,000 namun saya percaya masih ramai di kalangan mereka yang tidak berdaftar namun sudah menetap di sini.

“Sebaliknya, saya menyokong usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sedang melaksanakan proses pengumpulan data dan maklumat biometrik pelarian secara menyeluruh termasuk etnik Rohingya di negara.

“Ia lebih berkesan untuk memantau pergerakan setiap pelarian dan menentukan jumlah sebenar mereka yang berlindung di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN