KUANTAN: Pelancaran Birdie-X, sistem laser antidron pertama buatan Malaysia bukan sahaja melakar sejarah baharu dalam kedaulatan teknologi pertahanan, malah bakal mengubah landskap ekonomi ketenteraan negara menerusi penjimatan kos operasi yang drastik.
Sistem teknologi pertahanan berasaskan senjata tenaga terarah (DEW) yang dibangunkan secara domestik hasil kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) serta Benua Defence Sdn. Bhd. itu bakal menyelesaikan dilema ‘ekonomi peperangan’ yang dihadapi oleh angkatan tentera di seluruh dunia ketika ini.
Pencipta dan peneraju utama projek Birdie-X, Leftenan Kolonel Hairul Zaimy Ibrahim berkata, ancaman dron dalam konflik geopolitik moden pada hari ini menyaksikan doktrin peperangan berubah, apabila dron komersial yang diubah suai dengan kos murah mampu melumpuhkan pangkalan bernilai bilion ringgit.
“Sebelum ini, kaedah konvensional untuk menembak jatuh dron adalah dengan menggunakan misil pemintas sistem antidron (C-UAS). Bagaimanapun, kos untuk melepaskan sebutir misil pemintas tersebut mahal mencecah jutaan ringgit bagi satu tembakan.
“Keadaan tersebut dianggap tidak efisien kerana tentera terpaksa membazirkan misil bernilai jutaan ringgit hanya untuk memusnahkan sebuah dron ancaman yang murah.
“Di sinilah keunggulan Birdie-X menyerlah. Dengan menggunakan teknologi alur laser berkuasa tinggi, kos operasi untuk melepaskan satu pancaran laser bagi melumpuhkan dron dianggarkan hanya sekitar ratusan ringgit bagi setiap tembakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Semalam, muka hadapan Utusan Malaysia melaporkan, TUDM melakar sejarah baharu dalam landskap pertahanan negara menerusi pembangunan sistem laser antidron pertama negara yang direka khas bagi menangani ancaman pesawat tanpa pemandu (UAS) yang semakin kompleks.
Hairul Zaimy yang juga Ketua Sekretariat Inovasi TUDM berkata, peralihan kepada teknologi laser itu adalah satu keperluan kritikal demi memastikan kecekapan aset dan kewangan pertahanan negara.
“Dalam doktrin peperangan moden, kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lapuk menembak jatuh dron berharga sehingga mencecah jutaan ringgit. Itu adalah satu kerugian ekonomi taktik yang besar.
“Melalui Birdie-X, kita mengubah formula ini. Kita mampu melumpuhkan ancaman yang sama dengan kos elektrik sekitar ratusan ringgit sahaja bagi setiap tembakan. Ini adalah sistem masa hadapan yang memastikan setiap sen wang pembayar cukai digunakan secara optimum demi keselamatan ruang udara negara,” katanya.
Beliau berkata, selain kos operasi yang jauh lebih murah, status Birdie-X sebagai aset rekaan tempatan sepenuhnya memberikan kelebihan ekonomi yang besar kepada Kementerian Pertahanan daripada segi penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf.
“Ini kerana, setiap proses tersebut boleh dilakukan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan (TUDM, STRIDE, dan Benua Defence) tanpa perlu bergantung kepada kontraktor pertahanan asing yang mengenakan kos royalti tinggi. Ia juga meminimumkan pengaliran keluar dana negara kerana rantaian bekalan dan pembangunan sistem berpusat di dalam negara,” katanya.
Menurutnya, sistem itu berpotensi besar untuk direplikasi dan dipasang di seluruh pangkalan udara strategik TUDM, pangkalan tentera laut, mahupun fasiliti infrastruktur kritikal negara (seperti pelantar minyak dan gas serta empangan) dengan kos yang jauh lebih kompetitif berbanding mengimport sistem asing.
“Inovasi ini membuktikan bahawa pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan tempatan bukan sekadar pelindung kedaulatan, tetapi juga satu keputusan strategik yang sangat bijak demi kecekapan fiskal negara pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










