TUMPAT: Seorang tekong darat warga Thailand ditahan bersama 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam serbuan di Jalan Kampung Kubang Bemban, Pengkalan Kubor awal pagi tadi.
Dalam serbuan pukul 6.30 pagi itu, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan selepas cuba melarikan sebaik menyedari kehadiran pasukan PGA.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa ditahan suspek enggan menyerahkan diri walaupun diarah keluar oleh anggota bertugas.
Katanya, anggota bertugas terpaksa memecahkan cermin sebelah kanan kereta tersebut untuk melakukan tangkapan ke atas suspek.
“Semasa tangkapan dibuat, berlaku sedikit pergelutan dan anggota terpaksa menggunakan kekerasan minimum bagi mengawal suspek sebelum berjaya menahannya.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu telah menemukan sembilan lagi individu terdiri daripada enam warga China, seorang lelaki warga Myanmar, seorang wanita warga Myanmar dan seorang wanita warga China yang dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, salah seorang daripada PATI itu mengemukakan pasport China, namun tanpa cop kemasukan yang sah manakala selebihnya gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran sejak Januari lalu dan menerima bayaran RM150 bagi setiap migran daripada seorang lelaki dari Tak Bai, Thailand.
“Selain kereta, PGA turut merampas 22 telefon bimbit pelbagai model, sebuah komputer riba Dell, sebuah beg komputer riba serta dokumen pengenalan diri dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM77,100.
“Siasatan lanjut turut mendapati sembilan telefon bimbit jenis iPhone bersama sebuah komputer riba yang dirampas daripada salah seorang suspek dipercayai akan digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan dalam talian,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, ses disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN










