Pulau Pinang: Polis buru dua lelaki bantu siasatan kes bunuh

Pulau Pinang: Polis buru dua lelaki bantu siasatan kes bunuh

POLIS sedang mengesan dua lelaki iaitu Hein Min Zaw (kiri) dan Ong Wei Hao bagi membantu siasatan berhubung dua kes bunuh berasingan yang berlaku di Pulau Pinang.-GAMBAR/PDRM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang sedang mengesan dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar bagi membantu siasatan dua kes bunuh berasingan yang berlaku di negeri ini tahun lalu dan awal tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua individu yang dicari ialah Hein Min Zaw, seorang warga Myanmar yang memegang pasport bernombor MH120232 serta seorang lelaki tempatan, Ong Wei Hao, 42.

Katanya, Min Zaw dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki warga Myanmar di Lorong IKS Juru 5, Simpang Ampat pada 5 April lalu.

“Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan pekerja kilang warga Myanmar berusia 53 tahun ditemukan maut dalam keadaan tertiarap di tepi jalan dengan kesan tikaman pada bahagian rusuk.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Hein boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden (ASP) Muazzam Syaaban di talian 017-4825017,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Wei Hao pula dikesan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh pada 9 Oktober tahun lalu.

Sehubungan itu, JSJ Pulau Pinang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, ASP Hasryman menerusi talian 011-63319773.

“Berdasarkan semakan yang dibuat dengan Jabatan Imigresen setakat ini mendapati, tiada rekod pergerakan keluar negara melibatkan Wei Hao, selain identitinya termasuk penggunaan inisiatif BUDI95 juga tidak dikesan di dalam negara,” katanya.

Dalam kes tersebut, mangsa, Lee Boon Han, 31, ditemukan dalam keadaan leher cedera, kedua-dua tangannya diikat dan kepalanya diserkup dengan plastik. Laporan bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat sesak nafas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN