PETALING JAYA: Hubungan baik di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail akan terus kekal selain kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor diperkukuhkan.
Perdana Menteri berkata, perkara itu disepakati ketika beliau menghadap Tunku Mahkota Ismail di ibu negara hari ini.
Kata Anwar, beliau dan Tunku Mahkota Ismail turut membincangkan perkembangan semasa dan perancangan berterusan kerajaan Persekutuan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
“Saya menghadap Duli Yang Amat Mulia, Pemangku Sultan Johor di Kuala Lumpur hari ini dalam suasana mesra dan harmoni.
“Pertemuan ini memberikan ruang yang baik untuk bertukar pandangan dan membincangkan perkara-perkara terkait kebajikan serta kesejahteraan rakyat, khususnya di negeri Johor Darul Ta’zim,” katanya dalam kenyataan hari ini.-UTUSAN.










