KUALA LUMPUR: Pemilik Pencil Pictures and Records Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh menegaskan tidak timbul pertikaian, tuntutan atau isu berbangkit antara pihaknya dengan penulis novel, Sophilea berkenaan penerbitan drama, Hanya Untuk Dia.
Ayu dalam kenyataan memaklumkan segala urusan dan obligasi pembayaran kepada pihak penulis skrip berhubung kerja-kerja yang telah dipersetujui antara semua pihak selesai sepenuhnya.
“Sehubungan itu, pihak kami menafikan sebarang kenyataan, dakwaan atau gambaran yang boleh menimbulkan persepsi mengenai sebarang pertikaian kewangan, kegagalan pembayaran atau isu kontraktual antara pihak kami dengan pihak penulis skrip.
“Pihak kami memandang serius sebarang kenyataan dan penerbitan yang tidak benar, mengelirukan, bersifat memfitnah atau yang berpotensi menjejaskan reputasi, nama baik serta kepentingan komersial pihak kami.
“Pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan, mengulangi atau menyebarkan kenyataan sedemikian,” katanya.
Ayu dalam masa yang sama tidak berhasrat untuk memanjangkan perkara berkenaan dan menganggap segala urusan berkaitan selesai sepenuhnya.
“Pihak kami juga ingin menegaskan bahawa segala hak dan remedi pihak kami di sisi undang-undang adalah dengan ini terpelihara sepenuhnya, termasuk hak untuk mengambil tindakan di mahkamah sekiranya perlu.
“Pihak kami tidak berhasrat untuk memanjangkan perkara ini dan berharap semua pihak dapat menghormati kedudukan sebenar serta tidak membuat sebarang kenyataan atau penerbitan yang boleh menimbulkan kekeliruan.
Pihak kami menganggap perkara ini sebagai selesai dan berharap ia tidak lagi disensasikan di mana-mana platform media sosial,” ujarnya.- UTUSAN










