Rundingan Petronas, Petros dimuktamad tidak lama lagi

Rundingan Petronas, Petros dimuktamad tidak lama lagi

ANWAR Ibrahim menerima replika cek daripada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Dari Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri di Bintulu, Sarawak semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. – PEJABAT PERDANA MENTERI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa perkara dalam rundingan an­tara Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dengan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) sudah dipersetujui dan perjanjian antara kedua-dua syarikat itu dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip asas rundingan berkenaan diputuskan bersama beliau dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, rundingan itu bertujuan memastikan kepenti­ngan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak serta kedua-dua syarikat tenaga berkenaan diberikan perhatian.

“Saya akui kadangkala per­bincangan antara kedua-dua syarikat dan delegasi mengambil masa.

“Namun, saya sukacita me­ngumumkan bahawa sekurang-kurangnya beberapa perkara pokok sudah dipersetujui dan saya berharap, insya-Allah, tidak lama lagi kita dapat memuktamadkan perjanjian Pe­tronas-Petros,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penye­rahan Cek Susulan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di Bintulu, Sarawak semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak tidak berlaku menerusi ugutan atau tekanan seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, beliau berkata, perbincangan dilaksanakan se­cara terbuka bagi memberikan ruang dan manfaat kepada ke­dua-dua pihak.

“Sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, belum pernah saya menerima ugutan daripada Sarawak.

“Yang ada adalah panda­ngan, teguran dan perbincangan. Kadangkala terdapat pendirian yang tegas tetapi itu perkara biasa dalam sebuah negara demokrasi.

“Tidak ada tekanan yang ada ialah rundingan dan pandangan yang mewakili kepen­tingan anak-anak Sarawak,” katanya.

Menurut Anwar, setiap perbezaan pandangan perlu di­selesaikan menerusi semangat persahabatan, saling menghormati dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata, Sarawak kini bukan lagi sekadar sebuah negeri yang sedang membangun, sebaliknya berpotensi menjadi gergasi baharu dalam beberapa sektor industri di rantau ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Kerajaan Sa­rawak juga menyerahkan RM1.8 bilion kepada kerajaan Persekutuan susulan penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri.

Katanya, penyerahan itu membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk me­laksanakan perkara yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Penyerahan sebuah pelabuhan besar bukan perkara mudah. Pelabuhan Bintulu me­rupakan pintu masuk utama LNG yang terkenal di rantau ini dan juga di dunia.

“Namun, perkara yang ­telah kita janjikan dan semangat MA63 itu perlu kita tunaikan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyerahan RM1.8 bilion itu merupakan perkara penting yang perlu diketahui rakyat Sarawak dan seluruh negara.

Anwar berkata, proses pe­nye­rahan pelabuhan berke­na­an dilaksanakan melalui se­mangat saling menghormati dan kerjasama.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×