Rekod perkhidmatan jadi taruhan

Rekod perkhidmatan jadi taruhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Para pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor cenderung memilih calon berdasarkan rekod perkhidmatan, komitmen terhadap rakyat dan kemampuan menyelesaikan isu setempat di sebalik pertembu­ngan banyak penjuru.

Kehadiran ramai calon dan banyak parti yang bertanding tidak dianggap mengelirukan sebaliknya memberi peluang kepada pengundi menilai secara lebih teliti setiap daripada mereka sebelum pilihan ditentukan pada hari pengundian.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapati rata-rata pengundi mengakui mereka kini lebih berhati-hati dalam membuat pilihan selepas melalui beberapa siri pilihan raya sejak beberapa tahun ke­belakangan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut seorang pekerja swasta, Lauren Yee, 36, dia akan memilih calon yang benar-benar menjiwai isu dan permasalahan dihadapi penduduk setempat dalam usaha untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Saya mahukan calon yang betul-betul kenal dengan kawasan ditandingi. Selaku pe­ngundi DUN Puteri Wangsa, saya mahu wakil rakyat yang tahu apa masalah penduduk dan bukan hanya hadir mendengar aduan tetapi tiada penyelesaian dibuat.

“Selain itu, saya juga akan lihat kepada rekod perkhidmatan seseorang calon itu, sama ada mereka memang sudah berkhidmat untuk penduduk atau baru hendak memperkenalkan diri selepas dipilih sebagai calon,” katanya.

PRN Johor menyaksikan se­ramai 172 calon bertanding membabitkan tujuh buah parti dan enam orang calon Bebas.

Tiga DUN menyaksikan per­tandingan lima penjuru iaitu di Bukit Batu, Puteri Wangsa dan Bukit Na­ning manakala 12 DUN pula melibatkan pertan­dingan empat penjuru; 27 DUN pertandingan tiga penjuru manakala 14 DUN pertandingan satu lawan satu.

Sementara itu, seorang penuntut, R. Umesh, 20, memberitahu, dia akan melihat latar belakang setiap calon dan parti politik yang diwakili bagi memastikan keputusan diambil adalah yang terbaik buat masyarakat setempat.

“Sebagai pengundi baharu, saya berharap wakil rakyat yang menang tidak terlalu berusia agar individu dilantik aktif dalam memberikan khidmat. Ini kerana tugas wakil rakyat bukan mudah dan memerlukan tahap kesihatan tubuh badan yang baik.

“Saya akan mengundi di kawasan DUN Perling pada 11 Julai ini jadi saya harap wakil rakyat baharu kelak lebih mesra de­ngan masyarakat pelbagai lapisan umur, tidak kira sama ada penduduk itu muda atau tua,” katanya.

Tambah Umesh, dia mahukan pembangunan infrastruktur awam yang lebih lengkap termasuklah melibatkan kemudahan sukan seperti padang bola sepak, padang futsal, gelanggang badminton dan lain-lain untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.

Bagi pengundi DUN Stulang, Effie Ghazzi Taib, 55, pula berkata, dia membuat keputusan untuk memilih calon berdasarkan rekod perkhidmatan parti yang diwakilinya.

“Individu yang menjadi calon boleh berubah-ubah tetapi parti yang mereka wakili akan terus kekal bertanding dan sekiranya menang majoriti menjadi kerajaan negeri di Johor. Jadi saya pilih calon berdasarkan parti diwakili mereka.

“Tetapi saya akan kaji kecenderungan sesebuah parti politik itu terlebih dahulu, apa perjuangan mereka, bagaimana pemimpin mereka membawa diri ketika berdepan dengan rakyat akar umbi. Selepas itu baru saya buat pilihan yang dirasakan terbaik,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini