PUTRAJAYA: Perbandingan antara keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pentaksiran antarabangsa seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) adalah tidak wajar kerana kedua-duanya melibatkan kaedah pentaksiran, kumpulan sasaran serta objektif yang berbeza.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Rusmini Ku Ahmad berkata, PISA hanya melibatkan sampel murid berusia 15 tahun, manakala SPM membabitkan keseluruhan kohort murid yang menduduki peperiksaan awam itu.
Menurut beliau, PISA 2022 yang lalu telah melibatkan sebanyak 199 buah sekolah dan institusi pendidikan dengan penyertaan kira-kira 8,000 murid yang terdiri daripada pelbagai kategori sekolah.
Ia melibatkan pentaksiran murid sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah antarabangsa, sekolah swasta, GiatMara, sekolah agama swasta, sekolah agama rakyat dan sekolah harian yang kebanyakannya berada di luar bandar.
“Dalam konteks ini sahaja sudah jelas terdapat perbezaan jika dibandingkan dengan murid yang menduduki SPM melibatkan keseluruhan kohort murid daripada pelbagai jenis sekolah termasuk 72 sekolah berasrama penuh, 58 MRSM serta sekolah harian berprestasi tinggi dan sekolah harian lain.
“Murid-murid yang memperoleh keputusan cemerlang dan mendapat semua A dalam SPM datang daripada kelompok sekolah berprestasi tinggi selain sekolah harian yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, ahli akademik, Profesor Datuk Dr. Ahmad Ibrahim mendakwa, keputusan peperiksaan SPM terus menunjukkan peningkatan saban tahun, tetapi beliau mempersoalkan mengapa Malaysia masih tercicir dalam penilaian antarabangsa seperti PISA.
Beliau berpendapat, apabila keputusan peperiksaan dalam negara terus meningkat tetapi pencapaian di peringkat antarabangsa pula mendatar atau semakin merosot, penjelasan paling logik bukanlah kerana Malaysia tiba-tiba melahirkan generasi genius, sebaliknya, ia menunjukkan berlakunya pemampatan gred atau dalam bahasa lebih halus, penurunan standard peperiksaan secara beransur-ansur.
Dalam pada itu, Rusmini berkata, pencapaian dalam SPM turut dipengaruhi usaha berterusan murid dan guru memandangkan peperiksaan itu bersifat berimpak tinggi (high stake).
Katanya, ia sekali gus mendorong pelbagai program intervensi seperti pecutan SPM dan kelas tambahan dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi calon.
Sebaliknya kata beliau, PISA yang dilaksanakan setiap empat tahun sekali (selepas pusingan PISA 2025) dilihat sebagai pentaksiran yang tidak berimpak tinggi (high stake) kepada murid kerana keputusan individu tidak memberi kesan kepada penilaian kemajuan akademik murid tersebut.
Mengulas kandungan pentaksiran, Rusmini berkata, peperiksaan SPM dilaksanakan berdasarkan standard kandungan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) serta buku teks yang digunakan di sekolah.
“Program-program yang dilaksanakan oleh guru seperti pecutan SPM dan kelas tambahan memberi kesan kepada peningkatan prestasi peperiksaan itu.
“PISA pula mengukur kemahiran masa hadapan dan kebolehan menyelesaikan masalah dalam konteks yang lebih luas di luar bilik darjah bagi murid berusia 15 tahun,” katanya.
Katanya, dalam konteks Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, PISA telah ditetapkan sebagai sasaran wajib capai bagi mengukur kemajuan sistem pendidikan negara ke arah mencapai prestasi yang setara dengan purata antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan berhubung isu pemampatan gred dengan menjelaskan bahawa Lembaga Peperiksaan melaksanakan proses pemarkahan mengikut prosedur standard fixing yang turut diverifikasi oleh pakar pentaksiran dari dalam dan luar negara.
Menurut beliau, KPM terus komited meningkatkan kualiti pendidikan khususnya dalam mata pelajaran Matematik menerusi pelbagai pendekatan termasuk pembangunan Pelan Transformasi Matematik 2026 hingga 2035.
Katanya, bagi memperkukuh kemahiran masa hadapan serta keupayaan penyelesaian masalah dalam kalangan murid seperti yang dinilai menerusi pentaksiran antarabangsa, KPM turut menubuhkan Jawatankuasa Perancangan Strategik Pencapaian Penandaarasan Antarabangsa (JPSPPA). – UTUSAN










