PKR temu duga calon PRN Negeri Sembilan

PKR temu duga calon PRN Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: PKR telah melakukan proses menemu duga seramai 53 orang calon bagi mewakili parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Langkah itu supaya PH dapat menampilkan calon berkaliber, berwibawa dan mampu memberi khidmat lebih baik untuk rakyat.

Menurut sumber parti itu, seramai 53 calon telah selesai menjalani proses tersebut oleh satu panel khas terdiri daripada tiga pemimpin utama parti ber­kenaan.

“Temu duga itu membolehkan parti menyemak latar belakang calon dengan lebih teliti yang bukan saja mampu membawa cabaran dalam pilihan raya tetapi yang lebih penting mampu memberi khidmat lebih baik kepada rakyat.

“Sesi temu duga ini telah dilakukan secara berterusan sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan malah berlangsung hingga ke tengah malam. Kami lakukannya dengan teliti kerana mahu pilih calon yang betul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh memberitahu, PKR akan meletakkan calon di 16 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan di DUN Negeri Sembilan.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook pula mengesahkan parti itu akan mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi dalam PRN lalu manakala Parti Amanah Negara (Amanah) memaklumkan akan bertanding di baki sembilan kerusi lagi.

Sementara itu, sumber tersebut menjelaskan, dalam kalangan penyandang kerusi DUN, rekod perkhidmatan mereka sejak di­pilih dalam pilihan raya lalu juga akan disemak dan diambil kira sekiranya hendak dicalonkan semula.

“Kaedah temu duga ini di­pilih selepas PKR belajar daripada pengalaman lalu dalam proses memilih calon. Kami mahu calon yang benar-benar tepat dengan latar belakang sesuai termasuk pendidikan dan pekerjaan selain diyakini boleh berkhidmat lebih baik.

“Pada akhirnya, PKR percaya rakyat yang akan mendapat manfaat daripada seorang wakil rakyat yang berkhidmat dengan cemerlang,” ujarnya.

Tambahnya, kaedah temuduga itu juga mampu mengurangkan politiking yang berlebihan dalam proses pemilihan calon selain mengelakkan calon payung terjun yang tidak digemari oleh pengundi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×