KANGAR: Pemuda Pas negeri kesal dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berterusan menafikan peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka dalam usaha merancang menjatuhkan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Ketuanya, Haziq Asyraf Dun berkata, penafian berulang kali terhadap fakta telah direkodkan sebelum ini hanya memanjangkan kemelut dalam Perikatan Nasional (PN).
Katanya, kemelut sebelum ini bukan lagi melibatkan soal persepsi atau dakwaan politik, tetapi berkaitan pengakuan yang telah dibuat dalam satu pertemuan rasmi.
“Demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerjasama politik yang dibina atas dasar kejujuran dan amanah, semua pihak seharusnya berani berterus terang serta bertanggungjawab terhadap tindakan telah dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah diberikan ruang untuk terus memimpin negeri ini sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 tanpa sebarang kacau-ganggu yang merencatkan segala perancangan telah dirangka.
Baginda juga mengingatkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk meletakkan keutamaan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Pada 24 Mei lalu, Biro Politik Parti Bersatu menjelaskan tuduhan bahawa ADUN-ADUN Bersatu telah menarik sokongan terhadap Menteri Besar daripada Pas adalah tidak benar.
Sementara itu, Haziq Asyraf berkata, kenyataan dikeluarkan Biro Politik Bersatu itu tidak tepat dan bercanggah dengan pengakuan telah dibuat sendiri oleh tiga ADUN Pas yang telah terhenti keahlian.
“Dalam satu pertemuan bersama Dewan Harian Pas Pusat pada 21 Disember 2025 yang turut dihadiri oleh semua ADUN Pas Perlis, tiga ADUN terbabit secara terbuka mengakui bahawa mereka telah menandatangani SD (akuan berkanun) bersama ADUN-ADUN Bersatu.
“Pengakuan tersebut bukan sahaja didengari oleh para hadirin, malah telah direkod dan diminitkan dalam perbincangan tersebut. Justeru, adalah menghairankan apabila Bersatu terus memilih menafikan perkara yang telah diakui sendiri oleh individu-individu yang terlibat secara langsung dalam usaha tersebut,” katanya.
Katanya, Pemuda Pas negeri berpegang kepada fakta dan rekod yang wujud dan isu itu juga bukan lagi melibatkan soal persepsi atau dakwaan politik, tetapi berkaitan pengakuan telah dibuat dalam pertemuan rasmi tersebut.-UTUSAN










