KOTA BHARU: Kedudukan dan status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kelantan akan diputuskan oleh Pas dan kerajaan negeri.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat selepas Pas memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu semalam.
“Parti akan buat keputusan berhubung perkara itu selepas ini, begitu juga dengan kedudukan Datuk Kamarudin Md. Nor sebagai Exco Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Kamarudin menyerahkan nasib beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri kepada Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud untuk membuat keputusan selepas Pas memutuskan kerjasama politik dengan parti itu.
Kamarudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri berkata, buat masa ini beliau masih meneruskan tugas dalam kerajaan seperti biasa.-UTUSAN










