PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-272 yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan tanpa diketahui alasan sebenar penangguhan tersebut.
Perkara penangguhan mesyuarat itu disahkan oleh seorang Pegawai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Katanya, keputusan berhubung penangguhan mesyuarat itu adalah hak prerogatif serta terletak di bawah bidang kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
“Saya dimaklumkan mesyuarat itu ditangguhkan. Surat pemakluman penangguhan juga telah diedarkan kepada ahli-ahli mesyuarat dan para penasihat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan alasan sebenar keputusan itu dibuat.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja dijadualkan berlangsung hari ini sehingga esok.
Sebelum ini, kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal bulan ini dilaporkan berkata, sebarang pengisytiharan dan pengesahan pelantikan ke jawatan itu perlu dibuat mengikut saluran yang sah bagi mengelakkan berlakunya ketidakamanan.
Sebelum itu, media melaporkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12.
Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.-UTUSAN.










