Kawalan di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin selaras fungsi polis

Kawalan di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin selaras fungsi polis

Alzafny Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penugasan anggota dan pegawai polis di sekitar pintu masuk Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin di Tampin pagi tadi dilaksanakan selaras dengan fungsi dan tanggungjawab pasukan itu dalam memastikan keamanan, keselamatan serta ketenteraman awam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kehadiran polis di lokasi berkenaan adalah bagi memastikan keselamatan orang ramai, kelancaran situasi serta pematuhan kepada undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Menurutnya, penugasan itu dibuat susulan maklumat mengenai kehadiran orang ramai di kawasan berkenaan.

“PDRM bertanggungjawab memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam serta mencegah berlakunya sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967.

“Pada 5 Jun 2026, PDRM turut menerima satu salinan perintah mahkamah yang berkaitan dengan perkara berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, pihaknya menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bertenang, mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu proses yang sedang berjalan.

“Keadaan keselamatan di lokasi adalah terkawal dan PDRM akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN