Jangan biarkan perebutan kuasa ganggu keharmonian negeri - Utusan Malaysia

Jangan biarkan perebutan kuasa ganggu keharmonian negeri

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 1448 Hijrah di Masjid Tuanku Muhriz di Bandar Seri Jempol, di Jempol, Negeri Sembilan semalam.-FB DATO' SERI UTAMA HAJI AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengingatkan semua pihak agar tidak membiarkan perebutan kuasa mengganggu ketenteraman di negeri ini.

Baginda bertitah, kestabilan dan keharmonian yang dinikmati rakyat selama ini perlu terus dipelihara demi memastikan kesejahteraan negeri dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Janganlah kita membiarkan perebutan kuasa dan ketamakan mengganggu kedamaian serta ketenteraman yang dinikmati bersama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam masa yang sama, kita diamanahkan untuk terus menghayati dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 1448 Hijrah di Masjid Tuanku Muhriz di Bandar Seri Jempol, di sini malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tuanku Muhriz turut menegaskan, setiap pemimpin hendaklah sentiasa melaksanakan amanah dengan penuh integriti serta meletakkan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi segala pertimbangan lain.

“Semakin tinggi kedudukan seseorang pemimpin, semakin besar amanah dan tanggungjawab yang dipikulnya, serta semakin tinggi tuntutan untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi kepentingan peribadi.

“Sikap dan tindakan yang tidak berhemah atau didorong oleh kepentingan sempit seperti perebutan kuasa sama sekali tidak mencerminkan ciri kepimpinan yang bertanggungjawab,” titah baginda.

Baginda dalam pada itu bertitah, pentadbiran yang berteraskan prinsip tata kelola yang baik mampu memelihara kestabilan, keamanan dan kesejahteraan negeri.

Baginda justeru menyeru semua pihak supaya terus mempertahankan perpaduan, mengukuhkan semangat muafakat dan menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan masyarakat agar menyemak dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum disebarkan di media sosial bagi mengelakkan fitnah, kekeliruan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Sikap bertanggungjawab dalam memperoleh dan menyampaikan maklumat akan membantu memelihara keharmonian serta kesejahteraan masyarakat,” titah baginda.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini