NARATHIWAT (THAILAND): Proses dialog damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah, Barisan Revolusi Nasional (BRN) Melayu Patani dijangka disambung semula di Kuala Lumpur hujung bulan ini selepas lebih dua tahun tertangguh.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perdana Menteri Thailand, Wan Muhammad Noor Matha berkata, Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG) akan mengadakan perbincangan teknikal terlebih dahulu awal bulan ini sebelum rundingan penuh berlangsung.
Katanya, kerajaan Thailand diwakili Pengarah Agensi Perisikan Negara, Thanat Suwannano yang baharu dilantik sebagai Ketua PEDP/RTG pada dialog itu nanti.
“Dialog damai itu yang diketuai Thanat Suwannano dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini dengan Malaysia kekal sebagai fasilitator.
“Saya yakin dengan keupayaan Datuk Mohd. Rabin Basir yang menjadi pemudah cara dalam proses dialog itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata, pasukan rundingan baharu PEDP/RTG diminta meneruskan perbincangan yang pernah dilakukan oleh pasukan terdahulu.
“Tetapi kami mengadakan perbincangan teknikal terlebih dahulu pada awal bulan ini sebelum rundingan penuh dengan BRN yang dijangka berlangsung pada hujung Jun.
“Jika kita menerima kerjasama yang baik daripada Malaysia, rundingan untuk membina persefahaman dan mencapai keamanan di wilayah Selatan Thailand dijangka mencapai kemajuan yang lebih besar,” katanya.
Bekas Speaker Dewan Rakyat Thailand dan Ahli Parlimen Yala itu turut memberi jaminan bahawa usaha mencapai perdamaian diberi keutamaan dalam tempoh empat tahun menerusi pendekatan Pemahaman, Akses dan Pembangunan bagi menamatkan konflik yang berlarutan lebih 20 tahun.
Proses dialog damai antara Kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah di selatan negara itu telah bermula sejak 2013 dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator namun belum mencapai kata sepakat.
Sementara itu, akhbar ini difahamkan, kerajaan Thailand mengarahkan Thanat mengenal pasti individu yang benar-benar mempunyai ‘kuasa operasi’ dalam kumpulan pemisah di tiga wilayah di situ untuk dibawa ke meja rundingan.-UTUSAN.










