MARAN: Setiap bayi yang dilahirkan di Pahang dijamin mempunyai simpanan pendidikan RM250 dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) menerusi Program Permata Makmur, dengan kira-kira 20,000 kelahiran baharu setahun bakal menikmati manfaat inisiatif tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan kira-kira RM18 juta setahun bagi menjayakan program tersebut sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan anak-anak negeri ini.
Katanya, sambutan terhadap Program Permata Makmur menggalakkan apabila lebih 3,000 permohonan bagi bayi kelahiran tahun 2026 diterima setakat pertengahan bulan ini.
“Kerajaan negeri masih membuka permohonan Program Permata Makmur bagi bayi yang lahir pada tahun 2023, 2024 dan 2025 manakala permohonan bagi bayi kelahiran tahun 2026 juga sudah dibuka. Kita menyasarkan kira-kira 20,000 permohonan diterima setiap tahun bagi memastikan lebih ramai bayi yang lahir di negeri ini menikmati manfaat program berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sabariah berkata, setiap penerima akan menerima bantuan keseluruhan RM300, meliputi RM50 dalam bentuk barangan keperluan bayi manakala RM250 lagi disalurkan terus ke akaun SSPN sebagai simpanan pendidikan.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga yang baru menerima cahaya mata, malah menggalakkan ibu bapa merancang pendidikan anak-anak sejak dari peringkat awal kehidupan.
“Melalui simpanan SSPN yang diwujudkan seawal kelahiran, anak-anak mempunyai asas kewangan untuk pendidikan mereka pada masa depan, sekali gus membantu membudayakan amalan menabung dalam kalangan keluarga.
“Program ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat serta memastikan generasi muda Pahang mempunyai peluang pendidikan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN










