PADANG BESAR: Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) sebagai Zon Perdagangan Bebas bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu dan turut membuka peluang pelaburan di negeri ini.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, pembangunan itu turut memperkukuhkan perdagangan rentas sempadan serta merancakkan sektor logistik dan perindustrian di utara Semenanjung Malaysia, seterusnya menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Titah baginda, usaha ini bukan sekadar simbol pembangunan fizikal, malah merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan kedudukan negeri ini dan Malaysia sebagai pintu masuk perdagangan serta logistik serantau yang berpaksikan pengangkutan darat intra-Asia, khususnya jajaran rel Pan Asia.
“Dengan kedudukan strategik Perlis yang bersempadan dengan Thailand dan berada di laluan penting perdagangan ASEAN, beta menyarankan agar Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian serta melaksanakan pelaburan strategik bagi memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini,” titah baginda merasmikan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin-PIP, di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, pembangunan itu juga bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor perdagangan dan industri berskala besar, malah turut membawa limpahan ekonomi kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta membuka minda generasi muda terhadap potensi besar pasaran global.
“Beta telah memperkenankan nama beta digunakan sebagai simbolik Zon Perdagangan Bebas ini dan beta berharap agar ia terus berkembang sebagai pusat logistik dan perdagangan moden yang mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memperkukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan negara jiran dan rakan dagang antarabangsa,” titah baginda.
Titah baginda, negeri ini juga berpotensi muncul sebagai pintu gerbang perdagangan utama ASEAN berdasarkan kedudukannya di titik pertemuan Koridor Rel Daratan Intra-Asia dan Koridor Maritim Selat Melaka.
“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pelabur-pelabur serta agensi pembangunan dan pemain industri, beta yakin visi ini mampu direalisasikan,” titah baginda.-UTUSAN










