PETALING JAYA: Di sebalik dakwaan kononnya animasi Upin dan Ipin milik Indonesia, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Mohd. Radzi, 69, percaya isu tersebut sekadar provokasi segelintir pihak yang sengaja mahu mencetuskan suasana negatif di media sosial.
Menurut Burhanuddin, pihaknya memilih untuk tidak melayan kebanyakan dakwaan seumpama itu kerana percaya isu tersebut akan reda dengan sendiri.
“Kita sebenarnya memberi respons terhadap satu video dari Indonesia. Video itu dibuat di sebuah muzium di Mojokerto.
“Dalam video itu, mereka mendakwa kami mencuri idea karya mereka. Jadi, staf saya terasa dengan perkara tersebut.
“Senjata paling ampuh sebenarnya adalah diam sahaja. Kita teruskan kerja dan lama-lama mereka akan penat sendiri. Kebiasaannya kami memang tidak memberi respons terhadap perkara seperti ini. Kalau dilayan, lagi banyak pihak akan masuk campur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Burhanuddin, watak Susanti bukanlah punca sebenar isu berkenaan timbul seperti yang diperkatakan.
“Saya rasa watak Susanti tidak ada masalah. Ramai yang memuji watak tersebut. Malah, minggu lalu ketika acara di Jakarta, wakil presiden mereka juga bangga dengan apa yang kami lakukan.
“Watak Susanti itu sebenarnya menghubungkan Malaysia dan Indonesia. Jadi, kita tidak perlu untuk jadikan watak tersebut sebagai isu,” katanya.
Ujarnya, pihak produksi sentiasa berhati-hati dalam menghasilkan kandungan terutama kerana animasi tersebut turut mempunyai peminat yang ramai di Indonesia.
“Kita memang jaga hubungan baik dengan Indonesia. Kita juga sangat berhati-hati supaya tidak mengguris hati mereka. Kita tidak perlu ikut semua cakap netizen. Kami sebagai penulis lebih tahu arah cerita yang kami hasilkan.
“Di Indonesia, orang dewasa memang menonton betul-betul. Mereka tengok bersama keluarga,” jelasnya.
Mengulas dakwaan kononnya Upin dan Ipin meniru karakter Indonesia, Burhanuddin menjelaskan, watak yang dimaksudkan sebenarnya ialah karakter boneka terkenal Indonesia, Unyil.
“Mereka sebenarnya merujuk kepada Unyil. Karakter itu memang boneka dari Indonesia.
“Malah pernah ada cadangan untuk kami bekerjasama menghidupkan semula watak itu. Tetapi saya tidak teruskan sebab timbul pelbagai isu dan tuntutan,” ujarnya.
Menurut Burhanuddin, rakyat Malaysia juga perlu lebih menghargai karya tempatan supaya jenama besar seperti Upin dan Ipin tidak mudah dipersoalkan pihak luar.
“Kalau kita sendiri tidak angkat karya tempatan, orang lain akan cuba menuntut. Upin dan Ipin ini sebenarnya sudah jadi nama besar untuk Malaysia,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video dari Indonesia yang mendakwa Malaysia meniru karya negara itu selain memaparkan koleksi replika watak-watak dalam animasi Upin dan Ipin di sebuah muzium di Mojokerto.
Bagaimanapun, Les’ Copaque Production tampil menegaskan bahawa animasi tersebut merupakan karya asli dan hak cipta sepenuhnya milik produksi berkenaan. – UTUSAN







