SEREMBAN: Minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan pada 17 April lalu menjadi intipati utama saman pemula yang dikemukakan oleh Undang Yang Empat bersama dua yang lain terhadap seorang pegawai kerajaan, DKU dan kerajaan negeri hari ini.
Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban kira-kira pukul 11 pagi dan dijadualkan didengar pada 13 Mei ini.
Para plaintiff terdiri daripada Undang Luak Sungai Ujong yang didakwa sudah dipecat, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin.
Turut dinamakan sebagai plaintiff ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Manakala para defendan terdiri daripada Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin; DKU dan kerajaan negeri.
Menurut dokumen saman pemula itu yang dilihat oleh Utusan Malaysia, para plaintiff selaku ahli-ahli DKU memohon deklarasi bahawa mereka berhak dibekalkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas DKU yang diadakan pada 17 April lalu di Istana Besar Seri Menanti.
Mereka memohon perintah supaya Raja Norazli dan DKU menyerahkan minit mesyuarat tersebut dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh perintah tersebut.
Sehingga minit mesyuarat berkenaan diserahkan, para plaintiff memohon perintah penggantungan pelaksanaan sebarang penguatkuasaan oleh para defendan yang berkaitan keputusan Sidang Khas DKU tersebut.
Saman pemula itu turut menyertakan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Muhammed. Afidavit itu turut disokong Syed Razman dan Badarudin.-UTUSAN.










