SEREMBAN: Adik kepada Jahidah Nordin, 48, wanita yang koma akibat dipukul suaminya lima tahun lalu, mendakwa tidak mengetahui lelaki terbabit telah berkahwin sebanyak sembilan kali.
Fauziah Nordin, 45, berkata, dia hanya mengetahui latar belakang bekas suami kakaknya itu selepas membaca laporan berita.
“Saya tidak tahu dia sudah berkahwin baharu, tetapi saya tidak hairan jika dia boleh melakukan perkara seperti ini kepada orang lain. Saya hanya mengetahui dia sudah berkahwin sembilan kali selepas membaca laporan berita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia pada masa sama meluahkan rasa syukur selepas lelaki itu dilaporkan direman susulan dipercayai telah membelasah isterinya hingga keguguran dalam kejadian di Ambangan Heights, di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
Katanya, perkembangan itu memperjelas pihak yang bersalah dalam insiden berkenaan dan berharap mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada bekas suami kakaknya itu.
“Saya bersyukur dengan perkembangan terbaharu ini. Sekurang-kurangnya sudah jelas nampak siapa yang salah dan siapa yang tidak.
“Kami juga berharap dia dikenakan hukuman lebih berat serta sebatan,” katanya.
Dalam pada itu, Fauziah turut mempersoalkan tindakan memberikan penangguhan hukuman terhadap tertuduh.
“Pada pandangan saya, orang seperti ini tidak patut dibiarkan berkeliaran di luar. Saya tidak faham kenapa individu sekejam ini boleh diberi penangguhan hukuman.
“Sedangkan kakak saya sudah tidak lagi mempunyai kehidupan seperti manusia normal,” katanya.
Fauziah meluahkan rasa kecewa apabila tertuduh didakwa masih mampu menjalani kehidupan seperti biasa termasuk berkahwin berulang kali.
“Dia boleh berjalan ke sana sini, berkahwin berkali-kali dan kembali melakukan perkara sama. Adakah kehidupan kakak saya dan keluarga kami tidak bernilai?,” katanya.-UTUSAN.










