Takut, malu tetapi kasihan anak selalu menangis ingin menonton

‘Takut, malu tetapi kasihan anak selalu menangis ingin menonton TV’

TANGKAP layar video memaparkan Muhammad Ramadhan Abd. Hamid bersama isteri dan anaknya menahan kenderaan dinaiki Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang. - GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT : ‘Atuk, saya nak api (elektrik). Saya nak tengok TV (televisyen), please.’

Demikian kata Muhammad Afiq Danial Muhammad Ramadhan berusia lima tahun ketika menghampiri kenderaan dinaiki Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah di Kampung Kuala Sat, di sini yang tular baru-baru ini.

Permintaan itu dibalas dengan penuh kasih oleh Al-Sultan Abdullah yang berkata: “Atuk cuba ya.”

Menceritakan detik tersebut kepada Utusan Malaysia, bapa kanak-kanak berkenaan, Muhammad Ramadhan Abd. Hamid berkata, dia mendengar dengan jelas permintaan anak­nya itu kerana berdiri berdekatan sambil memegang plakad tertera tulisan ‘Ampun Tuanku Mohon Berhenti Sekejap’.

“Sebelum anak saya bercakap dengan Tuanku Sultan Pahang, saya sudah menyerahkan surat kepada baginda memohon kelulusan pemasangan bekalan elektrik ke rumah kerana sudah 13 tahun tanpa kemudahan tersebut.”

“Tuanku membalas ‘saya akan cuba usahakan’ dan menyerahkan surat itu kepada pegawai pengiringnya,” katanya di Kampung Kuala Sat semalam. Baru-baru ini, tindakan Muhammad Ramadhan mengangkat plakad tular bagi menarik perhatian Sultan Pahang tular di media sosial baru-baru ini.

Dia mengakui pada awalnya takut, malu dan bimbang jika tindakannya itu mengundang salah faham, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan ramai pegawai pengiring kenderaan Al-Sultan Abdullah.

“Alhamdulillah, Tuanku mem­berhentikan kenderaan apa­bila melihat plakad saya pegang diikuti isteri, Nur Atikah Malek dan anak lelaki.

“Saya terharu apabila melihat Tuanku menerima kehadiran kami dengan baik dan terus mendengar masalah kami,” katanya.

Katanya, tindakannya me­nga­du masalah bekalan elektrik itu kerana kasihan anaknya se­ring menangis untuk menonton televisyen dan makan makanan sejuk beku kerana rumah tiada peti sejuk.

“Saya nekad bertemu Tuanku yang berangkat ke kampung ini. Saya menulis plakad pada malam sebelumnya dan keesokan pagi menunggu di tepi jalan seawal 6.30 pagi.

“Hampir 10.30 pagi barulah dapat bertemu Tuanku dan menjelaskan masalah ketiadaan bekalan elektrik sejak 13 tahun sambil menyerahkan surat,” katanya.

Muhammad Ramadhan be­ker­ja sebagai mekanik manakala isterinya berniaga kecil-kecilan di hadapan rumah.

Dia turut menjelaskan rumahnya dibina di atas tanah kerajaan, menyebabkan permohonan bekalan elektrik dan geran sebelum ini ditolak.

“Mahu tidak mahu, kami hanya bergantung kepada bateri lori untuk mendapatkan sedikit bekalan elektrik. Rumah bapa, kakak dan sepupu juga tidak mempunyai bekalan elektrik kerana dibina atas tapak sama berdekatan,” katanya.

Dia turut berterima kasih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyediakan projek pemasangan tiang apabila diberitahu oleh kontraktor dan kediaman mereka akan disinari cahaya tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN