Suami isteri didakwa perdagang wanita Indonesia jadi buruh paksa

Suami isteri didakwa perdagang wanita Indonesia jadi buruh paksa

TAN Kok Teong (tengah) dan Koon Pheng (kiri) diiringi anggota polis bagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang semalam atas pertuduhan memperdagangkan wanita warga Indonesia bagi tujuan buruh paksa. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang wa­nita menangis di Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas hakim membenarkannya dan suaminya diikat jamin seba­nyak RM240,000 atas pertuduhan memperdagangkan wanita warga Indonesia bagi tujuan buruh paksa.

Tertuduh, Chan Koon Pheng, 40, dilihat turut me­rayu kepada anak-anaknya supaya mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga lain bagi membolehkan mereka membayar wang jaminan tersebut kerana tidak mahu terus berada dalam penjara.

Koon Pheng dan suaminya, Tan Kok Teong, 42, sebelum itu mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim, Ooi Sheow Yean.

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit didakwa atas sembilan pertuduhan memperdagangkan wanita Indonesia bagi tujuan buruh paksa antara bulan Ogos 2025 hingga Mei lalu di beberapa lokasi dalam daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Tengah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Antipemer­dagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah yang sama, Koon Pheng juga mengaku tidak bersalah terhadap empat lagi pertuduhan yang sama termasuk dua di hadapan Hakim, Roslan Hamid.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala pasangan berkenaan diwakili peguam, Arvend Rajan.

Ketika prosiding, Jun Keong memohon mahkamah agar menetapkan ikat jamin seba­nyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain mahu beberapa syarat tambahan dikenakan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Arvend me­­­mohon jumlah jaminan yang lebih rendah diberikan de­ngan alasan Chan merupakan pencari nafkah utama keluarga yang memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan wang ikat jamin sebanyak RM240,000.

Sheow Yean turut menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes sementara me­nunggu penyerahan dokumen manakala Roslan menetapkan 2 Julai ini bagi sebutan semula kes di mahkamahnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×