Saman Undang Luak dipertikai

Saman Undang Luak dipertikai

SEBAHAGIAN peguam dan pemimpin adat yang hadir pada prosiding pendengaran saman pemula oleh Mubarak dan lima yang lain terhadap Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, DKU Negeri Sembilan dan kerajaan Negeri Sembilan di Mahkamah Tinggi Seremban, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban semalam mengarahkan dua defendan dalam kes saman pemula oleh Datuk Mubarak Dohak bersama lima yang lain terhadap seorang pegawai kerajaan, Dewan Ke­adilan dan Undang (DKU) Ne­geri Sembilan dan kerajaan ne­geri, untuk kemukakan bantahan rasmi berkait bidang kuasa mahkamah mendengar saman tersebut.

Hakim Roz Mawar Rozain me­ngarahkan demikian selepas mendengar bantahan awal daripada defendan pertama, Setia­usaha DKU Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua, DKU Negeri Sembilan.

Kedua-dua defendan yang diwakili peguam, Steven Thiru membangkitkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan dalam saman pemula itu mengikut Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Mereka berhujah, berdasarkan peruntukan dalam seksyen itu, mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan berkenaan.

Berikutan itu, mahkamah meminta dua defendan tersebut memfailkan affidavit bagi menyokong bantahan tersebut dalam tempoh tujuh hari.

Saman pemula itu difailkan oleh enam plaintif yang menuntut defendan pertama dan kedua menyerahkan kepada mereka minit mesyuarat Sidang Khas DKU pada 17 April lalu.

Sehingga minit mesyuarat ber­kenaan diserahkan, para plaintiff memohon perintah penggantu­ngan pelaksanaan sebarang penguatkuasaan oleh para defendan yang berkaitan keputusan Sidang Khas DKU tersebut.

Para plaintiff terdiri daripada Mubarak yang didakwa sudah dipecat sebagai Undang Luak Sungai Ujong; Undang Luak Je­lebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.

Turut dinamakan sebagai plaintiff ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Manakala defendan ketiga ialah kerajaan negeri.

Para plaintiff semalam diwakili tujuh peguam diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud manakala kerajaan negeri diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang negeri, Ala’uddin Baharom; Peguam Kanan Persekutuan, Amalina Zainal Mokhtar dan Peguam Persekutuan, Mohamad Shafiq Mohd. Sazali.

Ala’uddin turut membantah permohonan plaintif untuk mendapatkan minit mesyuarat DKU dengan alasan defendan bukan ahli dewan berkenaan.

“Segala persiapan, penyediaan, penyimpanan dan pengeluaran minit mesyuarat bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Saya percaya bidang kuasa mahkamah perlu diputuskan terlebih dahulu kerana secara amnya minit mesyuarat dan keputusan adalah perkara yang berbeza manakala bagi permohonan ketiga (penggantungan), defendan membantah sekeras­nya dan memohon isu berkenaan didengar dahulu,” katanya.

Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai ini untuk mende­ngar semula saman pemula itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN