Rujuk 'minda presiden Pas', elak keluar kenyataan bercanggah akidah, syariat-Dewan Ulama Pas Kelantan - Utusan Malaysia

Rujuk ‘minda presiden Pas’, elak keluar kenyataan bercanggah akidah, syariat-Dewan Ulama Pas Kelantan

TUAN Mohd. Saripudin Tuan Ismail (dua dari kanan) menyerahkan anak pokok cempedak dan baja kepada penduduk sempena Program Apo Kobar Pok Tani Agro Al- Falah (Kapok) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang Kota Bharu, Kelantan hari ini- UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dewan Ulama Pas Kelantan menggesa semua ahli merujuk kepada garis panduan ‘Minda Presiden Pas’ sebagai asas utama untuk memastikan semua ahli parti sentiasa berpegang kepada akidah, syariah dan akhlak ketika mengeluarkan kenyataan kepada umum.

Ketua Dewan Ulamak Pas negeri Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, garis panduan sedia ada itu penting bagi mengelakkan sebarang kenyataan bercanggah dengan Islam selain tidak mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Katanya, Pas tidak mengeluarkan garis panduan baharu, sebaliknya terus menggunakan panduan yang diamalkan sejak sekian lama dalam parti.

“Semua ahli boleh merujuk panduan termasuk menerusi ‘Minda Presiden PAS’. Perkara ini sangat penting demi kebaikan semua ahli dalam perjuangan parti. Kita tidak mengeluarkan garis panduan baharu, sebaliknya menggunakan garis panduan sedia ada sejak sekian lama.

“Dalam ‘Minda Presiden PAS’ juga disebut secara lengkap mengenai aspek ilmiah supaya ahli berhati-hati dengan fakta apabila mengeluarkan kenyataan dan tidak menimbulkan kontroversi kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Apo Kobar Pok Tani Agro Al-Falah (Kapok) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di sini hari ini.

Mengulas isu kontroversi melibatkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Tuan Mohd. Saripudin berkata, perkara itu dijadikan panduan kepada Pas Kelantan dan Pusat memandangkan pemimpin berkenaan sudah mengaku kesilapan selain menarik balik kenyataan terbabit.

Katanya, isu tersebut juga dianggap hampir selesai dan diharapkan tidak lagi diperbesarkan.

“Tidak dinafikan setiap manusia ada salah dan silap. Apabila seseorang mengaku kesilapan, itu menunjukkan dia seorang yang berjiwa besar,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, polis sudah mengambil 65 keterangan individu termasuk Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mohamad Zawawi Salleh berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghina sahabat Nabi ketika menyampaikan ceramah politik di Terengganu, minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN