UDA lancar projek Residensi Mutiara di Johor

UDA lancar projek Residensi Mutiara di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset mempertingkat pemilikan hartanah dalam kalangan masyarakat khususnya di Johor menerusi pelancaran projek perumahan terbaharu, Residensi Mutiara yang dijangka siap pada Jun 2029.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, projek ini mencerminkan usaha berterusan UDA dalam membangunkan kediaman yang relevan dengan keperluan semasa, di samping memberi peluang kepada lebih ramai individu memiliki kediaman berkualiti pada harga yang kompetitif.

“Residensi Mutiara juga merupakan antara pembangunan yang menerapkan ciri-ciri pembangunan lestari selaras dengan komitmen UDA dalam menyokong amalan Agenda Pembangunan Mampan (SDG). 

“Antaranya termasuk penggunaan lampu jalan solar, sistem solar fotovoltaik (PV) dan tangki tadahan air hujan di rumah kelab serta kelengkapan penjimatan air seperti tandas cekap air dan pili jimat air,” katanya dalam kenyataan.

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu berkata, Residensi Mutiara mengetengahkan konsep eksklusif, fleksibiliti ruang dan gaya hidup komuniti moden menerusi reka bentuk dan susun atur ruang yang praktikal serta lebih luas. 

Jelasnya, kediaman ini turut dilengkapi elemen taman mesra keluarga serta ruang dalaman yang menyokong interaksi dan kebersamaan, di samping mengetengahkan potensi konsep dwi-kunci yang sesuai untuk keluarga besar atau adik-beradik yang ingin tinggal berdekatan sambil mengekalkan akses dan ruang masing-masing. 

“Projek dengan 50 unit ini juga menawarkan persekitaran komuniti berpagar dan berpengawal 24 jam, selain turut dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan komuniti yang mempunyai ruang kafe, bilik aktiviti serta ruang pelbagai guna. 

“Projek ini menawarkan dua jenis kediaman iaitu rumah bandar dua tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta rumah bandar tiga tingkat dengan tiga bilik tidur dan empat bilik air,” ujarnya.

Tambahnya, kediaman berstatus pegangan kekal itu berkeluasan antara 1,259 hingga 3,627 kaki persegi dan ditawarkan pada harga bermula RM548,700. 

Pada masa yang sama, projek yang turut direka bagi memenuhi keperluan golongan profesional dan keluarga muda ini turut berhampiran dengan beberapa laluan utama sekali gus menjadikannya menjadi pilihan ideal bagi warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura. 

UDA turut menyediakan pelbagai tawaran menarik yang dirangka khusus untuk membantu pembeli memiliki kediaman ini dengan lebih mudah, termasuk bayaran pendahuluan serendah RM1,000 atau dua peratus, pengecualian yuran guaman dan duti setem serta skim pembayaran yang fleksibel bagi menampung perbezaan pinjaman bank. 

Orang ramai boleh melayari www.uda.com.my atau ikuti UDA Holdings Berhad di Instagram (@uda_official) dan Facebook (UDA Holdings Berhad) bagi mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN