Risiko warga emas mati sendirian di rumah meningkat

Risiko warga emas mati sendirian di rumah meningkat

KEADAAN warga emas yang ditempatkan di Pusat Jagaan Kebajikan Mahmudah, Semenyih, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih ramai warga emas berisiko mati sendirian di rumah akibat di­tinggalkan keluarga atau hidup bersendirian menjelang 2030, memandangkan 464 pusat jagaan berdaftar berdepan keka­ngan kapasiti dan kos operasi.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 menunjukkan, 18.8 peratus warga emas di Malaysia tinggal bersendirian meningkat hampir tiga kali ganda berbanding 6.3 peratus pada 2018.

Laporan Pusat Penyelidikan Pendidikan dan Kesejahteraan Kewangan (FEWRC) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pula mendapati, seorang daripada 10 warga emas di Malaysia menjadi mangsa penderaan atau pengabaian.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, pusat jagaan kendaliannya menerima banyak kes warga emas ditinggalkan waris, selain golongan sebatang kara, asnaf dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, pusat itu menempatkan kira-kira 50 penghuni dan kebanyakannya merupakan kes dirujuk oleh hospital kerajaan selepas tidak dituntut ahli keluarga.

“Banyak kes melibatkan war­ga emas yang tidak dituntut waris selepas keluar hospital. Ada juga yang dihantar sendiri oleh keluarga kerana tidak mampu menjaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad Syafiq mendedahkan, permintaan terhadap penempatan meningkat setiap bulan, lantas mengakibatkan kekangan kapasiti dan kos operasi.

“Memang banyak permin­taan, tetapi tempat terhad. Ada pusat jagaan lain juga terpaksa menolak kemasukan kerana sudah penuh.

“Dalam keadaan kos operasi meningkat, pusat jagaan seperti kami perlu menanggung pelbagai perbelanjaan termasuk makanan, ubat-ubatan, lampin pakai buang, utiliti dan keperluan harian penghuni,” katanya.

Tinjauan akhbar ini mendapati, terdapat pusat jagaan yang beroperasi dalam keadaan serba kekurangan manakala sebahagiannya terpaksa ditutup akibat kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan kelulusan rasmi.

Keadaan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada kewujudan pusat jagaan tidak berdaftar bagi menampung permintaan tinggi yang akhirnya menimbulkan risiko terhadap aspek keselamatan dan kebajikan penghuni.

Statistik Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi warga emas dibuang iaitu 1,883 orang diikuti Perak (1,582), Johor (1,488) dan Pulau Pinang (1,106).

Dalam pada itu, pakar perunding kaunselor kekeluarga­an dan perkahwinan, Hushim Salleh berkata, punca pengabaian bukan sahaja berkait dengan beban kewangan malah turut melibatkan konflik hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

Katanya, terdapat kes anak enggan menjaga ibu bapa di­sebabkan hubungan yang sudah lama renggang termasuk rasa tidak puas hati terhadap la­yanan diterima ketika kecil.

“Kebanyakan kes yang saya kendalikan menunjukkan anak tidak mahu menjaga ibu bapa kerana hubungan yang sudah lama renggang.

“Apabila ibu bapa memerlukan sokongan, anak-anak yang pernah terkesan dengan la­yanan tidak adil cenderung menjauhkan diri,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN