Pusat data ancam sumber air jika tidak dikawal

Pusat data ancam sumber air jika tidak dikawal

PUSAT data di Malaysia mengalami pertumbuhan dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM114.7 bilion antara 2021 dan 2023. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangu­nan pusat data berskala be­sar perlu diurus dengan te­liti bagi memastikan penggunaan air bagi sistem penyejukan tidak memberi tekanan kepada sumber air negara.

Ia selari garis panduan pem­bangunan pusat data mam­pan dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang menekankan pengguna­an reka bentuk lebih cekap air bagi kemudahan berkenaan.

Menurut garis panduan itu, pusat data berskala besar disaran mencapai sasaran penggunaan air tidak melebihi 2.2 meter padu bagi setiap megawatt jam.

Bagaimanapun, Malaysia ma­­­sih ketinggalan berbanding penanda aras global memandangkan purata Kecekapan Penggunaan Air (Water Usage Efficiency – WUE) dunia adalah sekitar 1.8 meter padu bagi setiap megawatt jam.

Bagi sebuah pusat data berskala besar yang beroperasi sepanjang hari, penggunaan air bagi tujuan penyejukan boleh mencecah jutaan liter sehari.

Namun, jumlah penggunaan air itu bergantung kepada kapasiti pusat data, teknologi penyejukan yang digunakan serta tahap kecekapan air dalam reka bentuk dan operasi kemudahan berkenaan.

 

S. PIARAPAKARAN

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, jurang antara sasaran WUE negara dan purata global perlu ditangani segera.

Beliau berkata, bagi pusat data berskala besar (hyperscale) berkapasiti 100 megawatt, penggunaan air dianggarkan kira-kira dua juta liter sehari.

Katanya, jika diekstrapolasi kepada kapasiti terkumpul pusat data sekitar 4,000 megawatt, penggunaan air bagi tujuan penyejukan kemudahan itu boleh mencecah 80 juta liter sehari.

Sebagai perbandingan, penggunaan air sebanyak 80 juta liter adalah bersamaan keperluan harian kira-kira 100,000 isi rumah.

Berdasarkan panduan Jaba­tan Tenaga Amerika Syarikat (DOE), air dalam sistem menara penyejukan lazimnya dikitar semula beberapa kali sebelum sebahagiannya dibuang sebagai air buangan (blowdown).

Mengikut prinsip operasi itu, kira-kira 50 hingga 75 peratus daripada air tambahan yang masuk ke sistem berpotensi hilang melalui penyejatan manakala selebihnya dikeluarkan sebagai blowdown bagi mengawal kan­dungan mineral.

Menurut laporan firma perun­ding hartanah antarabangsa JLL Malaysia, jumlah kapasiti pusat data negara ketika ini dianggarkan kira-kira 835 megawatt.

Jumlah itu diunjurkan me­lebihi 1,850 megawatt menjelang 2026 dan boleh mencecah lebih 4,000 megawatt selepas 2030.

Piarapakaran berkata, bagi memastikan penggunaan air pusat data lebih cekap, kerajaan perlu membangunkan dasar dan garis panduan yang kekal relevan dengan perubahan teknologi semasa.

“Pada masa hadapan, teknologi penyejukan pusat data akan menjadi semakin baik. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan pengendali pusat data tidak terus bergantung kepada teknologi lama.

“Perlu ada syarat tambahan supaya pengendali beralih kepada teknologi penyejukan lebih cekap apabila ia tersedia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) untuk menetapkan langkah penjimatan air khusus bagi pusat data.

“Melalui WSIA, kerajaan bo­leh menetapkan kaedah supaya pusat data menggunakan air dengan lebih cekap, termasuk melalui penggunaan semula air, kitar semula air dan sistem penyejukan yang lebih baik.

“Pendekatan ini boleh dibuat khusus untuk pusat data,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Yusoff Ishak berkata, pembangunan pusat data tidak boleh dilihat dari sudut ekonomi digital semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, pembangunan itu perlu mengambil kira kemampuan sumber air setempat bagi memastikan kapasiti bekalan tidak terjejas akibat peningkatan permintaan daripada sektor industri.

Katanya, sebagai negara ber­iklim tropika, keperluan penyejukan bagi pusat data adalah le­bih tinggi memandangkan suhu persekitaran yang panas menyebabkan sistem komputer dan pelayan perlu disejukkan secara berterusan.

Mohd. Yusoff berkata, te­kanan terhadap sumber air juga boleh meningkat sekiranya pusat data dibangunkan di kawasan lembangan yang sudah berdepan masalah tekanan air, kemarau dan suhu melampau akibat perubahan iklim.

Katanya, keadaan itu dibu­ruk­kan lagi apabila infrastruktur bekalan air sedia ada sudah beroperasi menghampiri had optimum.

“Permintaan air daripada sektor domestik, pertanian, perindustrian dan alam sekitar sentiasa meningkat. Sehubungan itu, pengembangan pusat data yang tidak terkawal boleh meningkatkan persaingan untuk sumber air terawat.

“Isunya bukan sahaja jumlah ketersediaan air tetapi juga kapasiti tampung setempat dan kebolehpercayaan bekalan yang bermusim,” katanya.

Beliau berkata, keupayaan bekalan air untuk menampung keperluan pusat data tanpa menjejaskan pengguna domestik bergantung kepada lokasi, nilai rizab serta daya tahan sistem bekalan air di negeri ma­sing-masing.

Katanya, sesetengah zon perindustrian yang mempunyai infrastruktur kukuh dan kapasi­ti rawatan lebihan mungkin mampu menampung peningkatan permintaan buat sementara waktu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN