PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mendesak kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen bagi menyemak semula Belanjawan 2026 berdasarkan kedudukan sebenar ekonomi negara susulan ketidaktentuan global ketika ini.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat mendapat gambaran jelas serta menilai tahap kesiapsiagaan kerajaan dalam menentukan hala tuju negara dalam situasi yang semakin mencabar.
Menurut beliau, semakan terhadap pengurusan Belanjawan 2026 perlu dilakukan mengambil kira perkembangan semasa yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
”Semakan terhadap pengurusan bajet 2026 perlu dibuat kerana situasi terkini. Kita dimaklumkan kerajaan akan membuat pemotongan bajet yang besar kepada beberapa kementerian.
“Kesan yang menimpa rakyat pada pertengahan tahun hingga suku keempat dijangka lebih parah dan ada keperluan untuk kerajaan berterus terang kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan tidak bercadang membentangkan semula Belanjawan 2026 ke Parlimen walaupun negara sedang berdepan tekanan berikutan ketidaktentuan global susulan krisis di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kementerian-kementerian kini sudah menerima pemakluman daripada Kementerian Kewangan untuk menyemak semula perbelanjaan operasi mereka.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PN tidak bercadang mengemukakan pelan ekonomi bayangan buat masa ini.
Sebaliknya mahu melihat sejauh mana Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan kerajaan dilaksanakan mengikut perancangan asal.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan kini berdepan cabaran dalam mengurus fiskal negara susulan peningkatan subsidi kerajaan sehingga mencecah RM7 bilion.
“Keadaan ini membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan kepada pelaksanaan projek kerajaan.
“Selain itu, ia juga menambah beban kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor pertanian dan perladangan susulan kenaikan harga diesel yang meningkatkan kos barangan pengguna,” katanya.-UTUSAN.











