PM arah agensi kewangan turun padang bantu PKS

PM arah agensi kewangan turun padang bantu PKS

ANWAR Ibrahim bertemu peniaga kecil pada Majlis Pelancaran Skim Khas Usahawan Tani Agrobank X FAMA di Pasar Tani Taman Melawati, Kuala Lumpur semalam. – mingguan/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agensi ber­kaitan kewangan digesa turun padang bagi memberi pe­nerangan kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) mengenai kemudahan pembiayaan pinjaman khususnya mereka yang berdepan kekangan modal.

Ia susulan laporan kajian dan hasil tinjauan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang mendapati hanya lima peratus penjaja menerima bantuan daripada institusi bantuan kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah memanggil semua agensi berkaitan ke pejabatnya dua minggu lalu bagi membincangkan pelaksanaan program pembiayaan yang menunjukkan kemudahan pinjaman me­luas namun tidak diketahui dan dimanfaatkan.

Menurutnya, antara agensi terlibat ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Agrobank.
“Saya kata (kepada agensi kewangan) turun (jumpa rakyat), jangan minta mereka datang ke pejabat. Turun dan beritahu manfaatnya.

“Di sini di Taman Melawati, kita lihat ratusan syarikat (peniaga) kecil yang memulakan perniagaan, ada memerlukan pinjaman RM10,000 hingga RM20,000.

“Masalah pinjaman mudah sering berlaku dalam kalangan golongan berpendapatan rendah justeru agensi berkaitan perlu turun sendiri bagi penjelasan memudahkan urusan pembiayaan,” kepada pembe­rita selepas mengadakan lawatan di Pasar Tani Melawati di sini semalam.

Terdahulu, Anwar turut merasmikan program kerja­sama Agrobank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memperkukuh sokongan kepada usahawan tani dan peniaga kecil.

Menurutnya, golongan ter­sebut turut mendapat pinjaman dengan perkhidmatan yang rendah sekitar empat peratus sahaja.

Ditanya apa antara keluhan PKS, Perdana Menteri berkata, ia hanya berkaitan isu pinjaman.

“Ada yang tidak tahu dapatkan pinjaman, hanya isu kecil, yang mengeluh orang politik sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pengusaha perniagaan besar sering merungut seolah-olah tidak mampu untuk bertahan dalam ketidaktentuan ekonomi glo­bal ketika ini.

“Peniaga kalau peringkat rendah ini keluhan dia sangat minimal, yang besar-besar itu yang banyak mengeluh dan yang mengeluh paling kuat orang-orang politik yang sudah tergelincir ini.

“Alhamdulillah tiada (peniaga kecil) hendak berleter dan asyik merengek sepanjang masa. Itu hanya orang politik tertentu sahaja,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN