Kelemahan dalam penguasaan bahasa Inggeris dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang membantutkan perkembangan kerjaya pekerja Bumiputera, walaupun ramai dalam kalangan mereka memiliki kelayakan akademik dan kemahiran teknikal yang tinggi.
Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jurang pendapatan antara kaum masih ketara. Pekerja Bumiputera mencatatkan median upah bulanan sekitar RM2,200, berbanding RM4,000 bagi kaum Cina dan RM2,500 bagi kaum India.
Menurut Pengasas Brican English Network Sdn Bhd, Yasmin Kamil, kekangan ini berpunca daripada kurangnya keyakinan dalam berkomunikasi, sekali gus menyukarkan mereka bersaing dalam persekitaran korporat.
“Ramai sebenarnya mempunyai kelayakan akademik, tetapi apabila memasuki dunia pekerjaan, mereka kurang menyerlah. Sijil dan ijazah sahaja tidak mencukupi jika masih takut untuk bercakap, membuat pembentangan atau menulis e-mel dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Statistik turut menunjukkan bahawa 37.1 peratus pekerja Bumiputera mempunyai pendidikan tertiari. Namun, potensi tersebut sering tidak dimanfaatkan sepenuhnya apabila mereka cenderung kurang bersuara dalam mesyuarat atau perbincangan penting di peringkat organisasi.
Keadaan ini bukan sahaja mengehadkan peluang kenaikan pangkat ke jawatan pengurusan tertinggi, malah menyumbang kepada isu pengangguran graduan. Dianggarkan seramai 164,480 graduan di Malaysia masih menganggur, sebahagiannya kerana gagal menonjolkan diri dalam sesi temu duga.
Tambah Yasmin, keperluan dunia pekerjaan hari ini menuntut graduan yang mampu berkomunikasi secara profesional, bukan sekadar memahami bahasa Inggeris dalam konteks akademik.
Sejak 2016, Brican English Network telah melatih lebih 25,000 peserta daripada 150 organisasi, dengan fokus membantu golongan profesional dewasa meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan mempercepatkan kemajuan kerjaya mereka.










